Kenapa Pinggan Fine Bone China Halal?
Apakah Fine Bone China?
Bone China adalah produk tembikar berkualiti tinggi yang sering digunakan sebagai perhiasan dan juga peralatan makan dan minum oleh kalangan masyarakat elit kerana harganya yang amat tinggi. Bone china merupakan produk porselin yang mengandungi abu tulang (bone ash), kaolin, dan Cornish stone.
Bagaimana terhasilnya Fine Bone China.
Tulang yang telah dibersihkan akan dipanaskan pada suhu 800-1000 darjah celcius bagi menghilangkan lemak dan gelatin pada tulang. Kemudian ia akan dikisarkan agar saiz partikel tulang mengecil sehingga 70-80% dan diameter kurang 10µm. Setelah itu, ia diperam selama tiga hingga empat minggu sehingga menghasilkan pati tulang.
Kebiasaannya, abu tulang diambil daripada tulang lembu. Tulang lembu sangat sesuai digunakan dalam pembuatan bone china. Tulang lembu mempunyai kandungan iron yang rendah serta berfungsi menghasilkan warna lebih putih dan bersifat lut cahaya terhadap produk bone china.
Sebaliknya, tulang kuda dan babi tidak sesuai digunakan kerana mempunyai kandungan iron besi yang tinggi serta memberi kesan negatif terhadap penghasilan warna bone china. Warna yang terhasil adalah kekuningan atau keperangan.
Abu tulang akan diadun bersama kaolin dan Cornish stone. Adunan yang terhasil akan dibentuk untuk menghasilkan jasad bone china yang sempurna. Penghasilan jasad bone china perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembakaran. Proses pengeringan dilakukan bagi menyingkirkan air di dalam jasad bone china serta mengurangkan keretakan selepas proses pembakaran.
Proses Pembakaran Bone China
Bone China mempunyai tiga peringkat pembakaran iaitu Biscuit Firing; Glost Firing dan Enamel Firing. Biscuit Firing menggunakan suhu yang tinggi, antara 1200-1250 darjah celcius. Ketika suhu 850 darjah celcius, proses pengacaan atau kemasan mula terbentuk.
Dalam julat 1250 darjah celcius, fluks melebur, fasa kekaca terbentuk, dan perubahan hablur berlaku bagi meningkatkan sifat kekerasan dan lut cahaya pada jasad bone china. Masa pembakaran yang diambil adalah selama 17 hingga 20 jam. Biscuit Firing akan menghasilkan permukaan bone china yang licin tanpa liang.
Glost Firing merupakan peringkat kedua, iaitu pembakaran barangan seramik yang telah disalut. Glost Firing merupakan pembakaran pada suhu yang lebih rendah. Bahkan masa pembakaran lebih singkat berbanding Biscuit Firing.
Ketiga, Enamel Firing merupakan penghasilan kemasan atau salutan yang keras pada permukaan logam atau seramik. Enamel Firing juga merupakan pembakaran tambahan untuk mengekalkan hiasan pada permukaan.
Istihalah
Merujuk kepada proses pembakaran bone china di atas, kedua-dua proses ini mempunyai persamaan dengan kaedah penyucian Islam iaitu istihalah. Proses-proses ini telah merubah sifat asal bahan menghasilkan bahan baru yang berbeza dari aspek zat dan fizikal. Oleh itu, kedua-kedua proses ini diaplikasikan sesuai dengan teori istihalah dalam Islam.