Horoskop, Motivasi, Metafizik Semakin Menarik Peminat Sedangkan Ia Adalah Berdosa
Semalam selepas menceritakan parangai salah seorang anak kepada rakan sekerja ketika minum petang, dia berkata bahawa terdapat satu pandangan daripada seorang penceramah terkenal berkenaan perangai anak.
Katanya, anak kedua ini samada ia paling berjaya atau paling tidak berjaya. Kalau saya sebut nama penceramah tersebut, kita semua pasti kenal, kerana wataknya seperti orang yang beragama.
Saya membantah, mana boleh kaitkan turutan anak dengan perangainya. Perangai anak ini dibentuk dengan suasana dan didikan, sebab itu ada didikan agama untuk kanak-kanak, contohnya Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Dalam Islam) – Abdullah Nasih Ulwan.
Jika kita percaya dengan sikap anak dikaitkan dengan turutan anak, maka sama sahaja kita dengan orang kafir yang percaya bahawa nombor 4 memberi celaka, dan sebagainya.
Hari ini saya membuat sedikit carian berkenaan beberapa kajian lain yang dilakukan olehnya, terkejut saya kerana banyak kajian yang dikaitkan dengan waktu kelahiran seseorang. Berdasarkan tarikh kelahiran, hari dilahirkan, bulan dilahirkan, kita dapat tahu akan sikap seseorang.
Hal ini sudah hampir kepada ramalan, sedangkan ramalan ini dilarang keras dalam Islam. Islam tidak percaya kepada nasib ditentukan oleh nombor-nombor dan sebagainya.
…مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Riwayat Ahmad, no. 406
Maksudnya: “Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”