HANYA ALLAH YANG TAHU PERKARA GHAIB
Alam ini terbahagi kepada dua iaitu alam nyata dan juga alam ghaib. Hakikatnya manusia hidup dalam alam nyata yang dapat dilihat oleh mata kasar. Manakala alam ghaib ini adalah suatu yang tersembunyi daripada manusia.
…وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَـَٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ
…Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.
-Surah Aal-E-Imran, Ayah 179
Setiap berita ghaib yang telah kita dengar adalah sesuatu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad yang merupakan wahyu daripada Allah ta’ala. Hal ini kerana nabi sendiri pun tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang Allah Ta’ala sampaikan kepada baginda. Banyak sekali dalil-dalil dalam al-quran yang menerangkan hal ini termasuklah ayat yang di atas.