Browsed by
Tag: bayi

Bayi Diculik – Jangan Mudah Membuat Kesimpulan

Bayi Diculik – Jangan Mudah Membuat Kesimpulan

Hari ini kita dikejutkan dengan suatu berita berkenaan seorang bayi yang telah dilarikan oleh pengasuhnya, ditemui mati dalam keadaan yang tidak boleh diterima akal.

GOMBAK: Bayi lelaki berusia tiga bulan yang didakwa dilarikan individu tidak dikenali pada Selasa dijumpai mati di rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves.

Mayat Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui di dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di kediaman itu kira-kira jam 11 malam tadi, laporĀ Berita Harian. Astro Awani

Semoga kedua ibubapa serta ahli keluarga beliau diberikan kesabaran dan dipermudah segala urusan, serta mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan. Syurga untuk mu wahai Adik Adam Rayqal.

Terdapat pelbagai komen dan reaksi masyarakat, terutamanya di media sosial berkenaan kejadian ini.

1. Ada yang menceritakan bagaimana bersyukurnya mereka yang dapat menjaga anak sendiri, walaupun terpaksa berhenti kerja yang pendapatannya bernilai dalam empat ribu sebulan.

Kita harus ingat, jangan mudah kita berkata demikian. Seolah-olah ibu bapa anak tersebut (dan mereka yang turut berkerja dan menghantar anak ke pengasuh) tahu perkara tersebut dan dengan mudah menghantar anak ke pengasuh. Kita tidak berada dalam ‘kasut’ ibubapa tersebut.

Mana kita tahu tentang kesusahan mereka dalam mencari rezeki, dan tiada pilihan lain, dan itulah pilihan yang terbaik bagi mereka. Tiada ibubapa yang waras tidak sayangkan anak.

2. Ada yang mempersoalkan bagaimana ibubapa tersebut sanggup percaya iklan yang hanya tersiar di Facebook, dan berani menyerahkan anak kecil kepada mereka.

Sekali lagi kita harus tahu, bahawa kita tidak berada dalam situasi mereka. Mungkin keadaan terlalu mendesak, dan mungkin juga mereka tidak menyangka sama sekali bahawa ada pihak sekejam itu dalam menawarkan penjagaan bayi kecil. Tidak boleh mudah-mudah kita menyimpulkan bahawa ibubapa tersebut terlalu naif sehinggakan tidak boleh menyangka kualiti penjagaan bayi yang ditawarkan melalui Facebook tersebut adalah rendah.

Tidak mudah untuk kita membuat kesimpulan sedemikian.

3. Ada juga yang membuat kesimpulan bahawa semua pengasuh di luar sana tidak boleh dipercayai.

Ini juga adalah kesimpulan yang tidak adil. Bagaimana kita mudah-mudah untuk menyimpulkan semua mereka mempunyai hati budi yang sama. Ramai sahaja pengasuh-pengasuh yang amat penyayang dan memberikan sumbangan yang baik dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak. Malah, ada yang merasa segan kepada pengasuh, kerana kualiti penjagaan mereka tidak ternilai dengan bayaran bulanan yang diberikan.

Kesimpulannya, usahlah kita bermudah-mudah untuk memberikan kesimpulan yang awal tanpa kita mengetahui secara terperinci cerita sebenar. Bayangkan kita atau keluarga terdekat di tempat mereka? Na’uzubillahi min zaa lik. Sama-sama kita memberikan kata-kata semangat kepada ibubapa tersebut, dan sama-sama kita mempertingkatkan kualiti response terhadap apa jua perkara yang berlaku di sekeliling.

Wallahua’lam.