Baqarah dan Sihir – Pengalaman Sendiri
Teringin saya kongsikan satu pengalaman, bagaimana seorang rakan pejabat diselesaikan masalah oleh Allah s.w.t atas masalah isterinya yang terkena sihir.
Satu hari, dia datang bertanyakan arwah guru mengaji saya, bagaimana untuk menyelesaikan masalah keresahan isterinya yang mempunyai tanda-tanda terkena sihir. Arwah guru saya menasihatinya untuk membaca surah al Baqarah sebanyak tiga kali satu malam di rumah.
Memang panjang.
Arwah berkata, jika tidak mampu membacanya seorang diri, panggil rakan-rakan mengaji yang fasih bacaannya (betul tajwidnya) untuk sama-sama membacanya di rumah. Bahagikan satu surah al Baqarah tersebut beberapa helai seorang, dan mulakan bersama. Sehabis selesai semuanya, ulang kembali bersama-sama (serentak) sehinggalah tamat tiga kali bacaan Baqarah tersebut.
Rakan saya akur dan mengajak kami beberapa orang, dan aturkan masa untuk majlis bacaan tersebut.
Alhamdulillah, Allah izin berkesan.
Kelebihan Baqarah
Saya ingin kongsikan beberapa petikan daripada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkenaan kelebihan surah al Baqarah.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Maksudnya: “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. [Riwayat Muslim (780)]
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati. Di antara makna lain bagi hadith ini adalah tidak boleh mengebumikan orang-orang yang mati di dalam rumah. Akan tetapi, hadith ini menunjukkan pada makna yang pertama iaitu rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 146/8]
Wallahua’lam