Perbincangan Hukum Pinggan Mangkuk Fine Bone China

Perbincangan Hukum Pinggan Mangkuk Fine Bone China


Beberapa hari yang lepas, isteri saya telah berhajat untuk menghadiahkan pinggan mangkuk Fine Bone China yang telah dibeli kepada non muslim kerana ia dikatakan berkemungkinan mengandungi tulang babi semasa proses pembuatannya. Saya telah meminta untuk dia menangguhkan hajatnya itu dan telah membuat carian internet supaya mendapat pejelasan panjang lebar.

Alhamdulillah, saya telah menemui beberapa sumber yang kukuh termasuk suatu Analisis Fatwa-Fatwa Bone China Daripada Perspektif Hukum Islam yang disediakan oleh Norhidayah binti Pauzi dan Saadan bin Man darpada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Serba sedikit saya kutip ilmu yang dikongsikan oleh mereka di sini, dan mudah-mudahan mereka mendapat ganjaran yang setimpal atas usahanya ini.

ABSTRAK

Bone china adalah produk porselin yang mengandungi abu tulang, kaolin, dan Cornish Stone. Campuran ketiga-tiga bahan ini menghasilkan Bone china yang amat berkualiti. Adanya abu tulang haiwan dalam produk Bone china menimbulkan keraguan masyarakat Islam terhadap kehalalan penggunaannya. Produk-produk yang berasaskan haiwan sememangnya banyak menimbulkan keraguan. Hal ini kerana ia bersangkutan kepada dua perkara yang utama iaitu jenis haiwan yang disembelih dan cara penyembelihan haiwan tersebut. Penyelidikan ini menghuraikan konsep Bone china, proses-proses pembuatannya secara terperinci, dan lebih pentingnya membincangkan kaedah-kaedah syarak yang sesuai diguna pakai dalam penentuan hukum ke atas penggunaan Bone china. Kajian ini juga seterusnya merumuskan hukum yang bersesuaian terhadap isu-isu penggunaan Bone china berasaskan kepada prinsip-prinsip hukum syarak. Untuk mencapai objektif kajian ini, metodologi kajian yang telah digunakan hasil daripada kajian perpustakaan adalah metode dokumentasi dan metode historis. Tambahan itu juga, kajian ini menggunakan kajian lapangan iaitu metode temubual dan observasi, serta analisis data menggunakan metode induktif dan deduktif. Hasilnya, hukum penggunaan Bone china dapat dirumuskan berpandukan dua pandangan utama. Pandangan pertama, mazhab Hanafi dan mazhab Maliki mengharuskan penggunaan Bone china bagi pengguna-pengguna Islam kerana mereka menerima kaedah istihalah sebagai instrument penyucian dalam Islam. Namun demikian, menurut pandangan kedua, yakni pandangan yang didominasi oleh mazhab Syafii dan Hanbali, keduanya tidak mengharuskan penggunaan Bone China. Ini kerana mereka menganggap tidak berlaku istihalah dalam penghasilan Bone China.

PENGENALAN

Kehalusan dan kesenian dekorasi barangan meja bone china seperti set cawan dan set pinggan mangkuk adalah faktor utama bone china diminati bagi kaum wanita sebagai koleksi peribadi mereka. Bone china adalah produk tembikar berkualiti tinggi yang sering digunakan sebagai perhiasan dan juga peralatan makan dan minum oleh kalangan masyarakat elit kerana harganya yang amat tinggi. Bone china merupakan produk porselin yang mengandungi abu tulang (bone ash), kaolin, dan Cornish stone. Bahkan, penghasilan bone china adalah daripada abu tulang babi yang diharamkan oleh syarak. Selain itu, fatwa-fatwa bone china yang dikeluarkan dalam beberapa negara adalah bertentangan antara satu sama yang lain. Hal ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam terhadap penggunaannya. Justeru, artikel ini akan menganalisis perbezaan fatwa-fatwa bone china dan membuat penilaian semula tentang hukum penggunaan bone china menurut perspektif hukum Islam semasa.

ANALISIS FATWA-FATWA BONE CHINA YANG MENGHARUSKAN

Analisis fatwa-fatwa bone china yang diwartakan melibatkan beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) belum mengeluarkan fatwa berkenaan dengan bone china. Tetapi, terdapat sebuah panduan agama (irsyad) yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Singapura yang membahaskan isu ini. Irsyad merupakan sebuah panduan agama, dan bukan fatwa yang diwartakan. Irsyad tersebut berbunyi (Majlis Ugama Islam Singapura, 2011):

“Bone china adalah sejenis tembikar baru yang menggunakan tulang binatang sebagai salah satu dari kandungannya. Tulang tersebut dibakar sehingga 1000 darjah celsius sehingga berubah sifat dan bentuknya. Bone china kemudian dicampur dengan bahan-bahan lain seperti tanah liat untuk menjadikannya keras, dan dipanggil sebagai bone china. Oleh kerana sifat tulang tersebut telah berubah, dan juga bone china telah bercampur secara halus dengan bahan-bahan lain, maka bejana dari “bone china” boleh digunakan untuk menyediakan makanan. Bone china bukan najis.”

Analisis fatwa bone china daripada (MUIS), berdasarkan kenyataan daripada buku panduan irsyad ternyata sandaran yang digunakan berasaskan konsep istihalah (Izal bin Mustafa, 2011). Kaedah istihalah didefinisikan Ibn al-`Arabi sebagai perubahan bahan najis menjadi suci dari aspek zat dan sifat-sifatnya. Zat dan sifat-sifatnya berubah menjadi bahan baru dan hukumnya juga berubah menjadi suci (Muhy al-Din Ibn `Arabi, 1961). Oleh itu, hukum penggunaan bone chinaadalah diharuskan oleh syarak.

Pada 29 Februari 2008, Halal Monitoring Committee (HMC) di United Kingdom telah mengeluarkan sijil halal kepada syarikat Istipitar Sdn. Bhd. seperti berikut (t.n) (2009):

Hasil daripada analisis terhadap produk Ansley’s Bone China yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemantauan Halal (HMC), mereka menyimpulkan bahawa: “Keputusan akhir analisis yang dilakukan terhadap bahan-bahan mentah yang digunakan dalam produk bone china tidak mengandungi unsur-unsur haiwan yang tidak halal, bahkan menggunakan 100% daripada abu tulang lembu”. ” Sijil halal ini dikeluarkan pada 29 Februari 2008”.

Berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh HMC, Zainal Hisyam Yusuf yang merupakan Ketua Eksekutif di Istipitar Sdn. Bhd. menegaskan bahawa produk bone china yang dijual adalah halal dan boleh digunakan oleh orang Islam tanpa sebarang keraguan. Selain itu, pihak HMC telah menganalisis bahawa pembuatan jenama Ansley’s Bone China tidak dimasukkan bahan haram, bahkan hanya menggunakan tulang lembu sepenuhnya. Oleh itu, penggunaan pinggan mangkuk Ansley’s Bone China adalah harus bersandarkan kepada sijil halal yang dikeluarkan di United Kingdom.

Rujukan Utama: Analisis Fatwa-Fatwa Bone China Dari Perspektif Hukum Islam http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/14106/1/40-128-1-PB.pdf

Analisis Proses Penghasilan Pinggan Mangkuk Fine Bone China
http://notapadat.com/analisis-proses-penghasilan-pinggan-mangkuk-fine-bone-china/

Istihalah Dalam Perspektif Hukum Islam
http://notapadat.com/istihalah-dalam-perspektif-hukum-islam/

Leave a Reply

3 thoughts on “Perbincangan Hukum Pinggan Mangkuk Fine Bone China

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.