Paha Aurat atau Tidak, Dr Rozaimi, Syeikh Nuruddin serta Ulasan

Paha Aurat atau Tidak, Dr Rozaimi, Syeikh Nuruddin serta Ulasan

ISU PAHA AURAT ATAU TIDAK

Pada minggu lalu, saya membuka page Dr. Rozaimi dan mendapati ada banyak komen-komen di iklan majlis ilmu beliau menyatakan mahu datang dengan memakai seluar dalam sahaja, mahu solat pakai spender dan sebagainya. Saya tertanya-tanya kenapa jadi begitu? Apa sebenarnya yang terjadi sehingga muncul komen-komen begitu secara tiba-tiba.

Selepas saya mencari maka saya mendapati bahawa telah viral sebuah video pendek kuliah beliau di timur tengah di mana Dr. Rozaimi menyatakan beliau berpegang kepada pendapat ulama yang menyatakan bahawa paha lelaki bukanlah aurat. Video itu adalah video pendek yang sangat ringkas. Pada bulan Julai 2016, saya menghadiri kuliah Al-Fiqh Al-Manhaji yang diajar oleh Dr. Rozaimi. Ketika itu masuk bab syarat sah solat iaitu menutup aurat, dan Dr. Rozaimi menghuraikan bab itu sekitar 40 minit dengan beliau membawakan hujah-hujah kedua-dua belah pihak dan beliau menyebutkan nama-nama para ulama yang berpegang dengan pendapat sedemikian.

Solat pakai seluar dalam sahaja?

Saya sungguh kecewa dan stress melihat komentar saudara-saudara seIslam kita yang memerli pendapat ini dengan kata mereka ‘selepas ini bolehlah datang ke masjid pakai spender, bolehlah solat pakai seluar dalam sahaja?’. Saya sangka ini hanyalah sindiran masyarakat-masyarakat awam yang tidak suka kepada Dr. Rozaimi. Akan tetapi saya silap.

Rupanya sindiran itu mereka ambil daripada seorang tokoh ilmuan nusantara iaitu Shaikh Nuruddin al-Banjari yang mana dalam kuliah beliau, beliau memetik nama Dr. Rozaimi dan mengkritik pandangan beliau dengan menyatakan itu adalah pandangan yang akan membuka pintu fitnah kepada umat Islam yang akan menyebabkan masyarakat bermudah-mudah. Beliau tidak bersetuju dengan pendekatan Dr. Rozaimi membicarakan isu ini pada khalayak awam.

Saya tiada masalah dengan pendirian Shaikh Nuruddin dalam hal ini. Beliau berhak untuk berbeza pendapat dan pendirian dan pendekatan dengan Dr. Rozaimi. Akan tetapi saya berasa kecewa apabila mendapati beliaulah yang memberikan contoh orang akan datang solat pakai seluar pendek, khatib naik ke atas mimbar pakai seluar pendek, nanti pesantren atau sekolah agama akan beruniform seluar pendek berdasarkan pendapat yang Dr. Rozaimi kemukakan. Barulah saya sedar bahawa komen-komen menyindir itu mereka ambil daripada contoh-contoh yang Shaikh Nuruddin berikan.

Saya tertanya-tanya, tidakkah mereka tahu bahawa pendapat itu adalah pendapat ulama muktabar jua? Perlukah disindir sebegitu? Bukankah tindakan mereka itu termasuk menghina para ulama yang berpendapat sedemikian? Saya tiada masalah jika mereka menyatakan kerisauan takut masyarakat Tattabu’ ar-Rukhas (mengambil-ambil pendapat mudah mengikut hawa nafsu). Akan tetapi menyindir pendapat ini, saya tidak fikir ia lambang menghormati ulama yang sering dilaung-laungkan kita semua. Adakah kita hanya perlu menghormati ulama yang kita setuju pendapatnya sahaja?

Saya hairan apabila mereka menyindir sebegitu rupa. Bukankah majoriti ulama berpendapat bahawa aurat lelaki antara pusat dan lutut. Adakah perlu kita menyindir pendapat majoriti ini dengan menyatakan bahawa nanti orang akan datang masjid pakai seluar/kain tanpa pakai baju? Khatib naik mimbar tak pakai baju? Pelajar sekolah agama nanti uniform mereka seluar 3 suku atau kain pelikat paras lutut tanpa pakai baju?

Sebagaimana para asatizah kita yang mengajar fiqh mazhab Syafie selama ini, akan sering berpesan bahawa aurat itu minima, tetapi pakailah pakaian terbaik. Begitu jugalah yang Dr. Rozaimi lakukan. Beliau tetap dalam kedua-dua video beliau berpesan agar memakai pakaian yang elok, jangan pakai pakaian yang menjatuhkan maruah dan menimbulkan fitnah.
Adakah kita mahu menafikan bahawa ada kaum lelaki yang apabila solat di dalam rumah, mereka akan solat tanpa memakai baju? Adakah kita mahu salahkan mazhab Syafie dan majoriti ulama kerana tindakan orang yang tidak pakai baju ketika solat dan sekadar menutup aurat sahaja?

Ulama mazhab Syafie juga menyatakan aurat wanita jika di hadapan mahramnya dan muslimat lain antara pusat hingga ke lutut. Adakah kita ingin kata maka silakan wanita di rumahnya tidak berbaju jika berpegang dengan pendapat ini? Bezakanlah antara batas aurat dan adab dalam berpakaian.

Kritikan bertulis Ustaz Lutfi

Saya difahamkan bahawa Ustaz Lutfi adalah seorang ilmuan yang menulis dalam isu ini. Saya membaca kritikan beliau kepada video Dr. Rozaimi, dan kritikan beliau saya kira sangat menarik untuk kita teliti dan baca dan periksa semula.

Ustaz Lutfi menyebutkan:

============

2- Ada kesilapan dalam menukilkan mazhab fekah (ia kerap berlaku dari beliau mungkin sebabnya ia dijawab secara sepontan@gopoh)

3- Mazhab Shafie pusat dan lutut bukan aurat walaupun ia wajib ditutup sebahagiannya atas qaedah ‘ ma la yatimmul wajibu illa bihi fahuwa wajib (perkara ini dapat diketahui dari kitab fekah Shafie yang paling kecil ( Dr Rozaime telah mengatakan sebaliknya)

4- Mazhab Hanafie lutut termasuk aurat . Ia boleh dirujuk dalam kitab ulama Hanafie antaranya dalam Lami’ Darari syarah Bukhari (Dr Rozaimie telah mengatakan sebaliknya)

5- Mazhab Maliki menurut pendapat yang muktamadnya dan majoriti ulamanya ialah peha lelaki ialah aurat ( al-Muntaqa lil Baji 1/247)

============

Dr. Rozaimi, Alhamdulillah telah menyatakan bahawa memang beliau tersilap, dan pendapat yang benar bagi mazhab Hanafi ialah lutut termasuk dalam aurat. (Pembetulan itu boleh dibaca di sini https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/1772667326094093 )

Berkaitan no. 3, saya mungkin terkeliru apakah sebenarnya yang Ustaz Lutfi kritik. Apakah maksud beliau kitab mazhab Syafie yang paling kecil? Adakah beliau maksudkan Dr. Rozaimi menyatakan bahawa di sisi mazhab Syafie pusat dan lutut adalah aurat? Sedangkan dalam video itu Dr. Rozaimi menyatakan di sisi mazhab Syafie lutut dan pusat bukan aurat, akan tetapi perlu ditutup supaya aurat antara pusat dan lutut tidak tersingkap. Dalam kuliah Fiqh Manhaji jua Dr. Rozaimi menyebutkan hal yang sama dan menyebutkan kaedah yang Ustaz Lutfi sebutkan. Jadi apa yang Ust. Lutfi mahu kritik sebenarnya dalam point no 3?

[Untuk faedah pembaca, dalam Al-Fiqh ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah, disebutkan hal ini: [حد العورة من الرجل والأمة وما بين السرة والركبة، والسرة والركبة ليستا من العورة، وإنما العورة ما بينهما، ولكن لا بدّ من ستر جزء منهما ليتحقق من ستر الجزء المجاور لهما من العورة،].

Bahkan saya mendapati ia disebut dalam kitab I’anat al-Talibin, dan al-Iqna’. Jika ia kitab kecil adakah ia salah atau batil?
والعورة ما بين السرة والركبة، أما السرة والركبة فليسا من العورة وإن وجب ستر بعضهما لان ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب.

Aurat ialah apa yang ada antara pusat dan lutut. Adapun pusat dan lutut bukanlah aurat. Akan tetapi ia wajib ditutup sebahagiannya kerana apa-apa yang perkara wajib tidak menjadi sempurna melainkan dengannya, maka hal itu jua menjadi wajib. [Al-Iqna].

Begitu juga disebutkan dalam I’anat at-Thalibin:

فكأنه قال: أما نفس السرة والركبة فلا يجب سترهما لكن يجب ستر جزء منهما ليتحقق الستر للعورة، إذ ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب.
Begitu juga dalam Tuhfatul Muhtaj Fi Syarhi Al-Minhaj:

نعم يجب ستر جزء منهما ليتحقق به ستر العورة
Berkaitan pendapat mazhab Maliki, Ust. Lutfi menulis seolah-olah Dr. Rozaimi menyatakan mazhab Malik menyatakan paha bukan aurat. Sedangkan Dr. Rozaimi menyebutkan *sebahagian ulama mazhab Maliki*, beliau tidak menyatakan itu adalah pendapat mazhab Malik. Di dalam kitab fiqh mazhab Malik, Hasyiah al-Sowi ‘Ala ‘Al-Syarh Al-Saghir disebutkan:
قَوْلُهُ : [ مَا بَيْنَ سُرَّةٍ وَرُكْبَةٍ ] : فَعَلَى هَذَا يَكُونُ فَخْذُ الرَّجُلِ عَوْرَةً مَعَ مِثْلِهِ وَمَحْرَمِهِ وَهُوَ الْمَشْهُورُ ، فَيَحْرُمُ كَشْفُهُ . وَقِيلَ : لَا يَحْرُمُ بَلْ يُكْرَهُ مُطْلَقًا . وَقِيلَ عِنْدَ مَنْ يَسْتَحْيِ مِنْهُ .

Bukankah nukilan ini menunjukkan terdapat pendapat yang dhaif dalam mazhab Malik bahawa ia bukan aurat sebaliknya makruh atau tidak boleh dibuka di sisi orang yang kita malu padanya.
============

6- Dr Rozaimie menyebut mazhab Bukhari peha bukan aurat

– Ada beberapa perkara tentang Imam Bukhari

– Beliau mengatakan terawikh 20 rakaat

– Beliau mengatakan disunatkan qunut subuh

============
Saya tidak faham apa yang Ust Lutfi mahukan dengan nombor 6 ini secara jelas. Apa yang saya dapat simpulkan ialah ust Lutfi maksudkan dari ayat di atas salah 1 dari 2 maksud:

1. Ust Lutfi mahu katakan bahawa Imam Bukhari berpegang dengan sesuatu yang menyanggahi apa yang Dr Rozaimi kata ia salah dalam bab lain. Jika ini yang ust Lutfi mahu tonjolkan maka ia tersasar. Ini kerana jika Imam al-Bukhari berpegang tarawih 20 rakaat, dan sunat qunut Subuh, maka apa kaitan dengan hal ini? Ia tidak relevan langsung. Bahkan Dr. Rozaimi tiada masalah pun dengan tarawih 20 rakaat. Dalam qunut subuh pula beliau berpegang ia bukan sunnah tetapi masih menganggap ia khilaf muktabar.
2. Ust Lutfi mahu katakan bahawa Dr Rozaimi tidak mengikuti Imam Bukhari dalam semua bab. Sepatutnya jika nak ikut, ikut semua. Ini juga bagi saya adalah ilzam ma la yalzam. Iaitu mewajibkan sesuatu yang tidak wajib. Sejak bila pula kita diwajibkan bertaqlid dengan seseorang dalam seluruh bab agama apabila kita memilih satu pandangannya? Imam Nawawi juga ada beberapa pandangan yang tidak selari dengan Imam Syafie dalam fiqh. Begitu juga al-Baihaqi. Adakah ust Lutfi mahu kecam mereka? Dan ust lutfi sendiri, adakah bertaqlid dengan Imam Syafie dalam seluruh bab? Cuba fikirkan.
==============

7- Adapun dalam masalah peha lelaki memang Imam Bukhari dilihat cenderung bahwasanya ia bukan aurat ini yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari namun Imam Badruddin Ain didalam Umdah al-Qari tidak bersetuju ini ialah mazhab Bukhari

8- Walaubagaimanapun Dr Rozaimi tidak menukilkan dari Imam Bukhari secara cermat dan warak

9- Imam Bukhari mengatakan riwayat Anas ( yang zahirnya menunjukkan peha tidak aurat lebih kuat sanadnya) dan riwayat Jarhad (yang menunjukkan wajib tutup aurat) lebih ihtiyat

10- Imam Bukhari mengatakan memakai riwayat Jarhad lebih selamat dan warak dalam agama supaya dapat keluar dari ikhtilaf ulama

11- Jadi mengapa Dr tidak mengamalkan qaul Bukhari ini

==============
Imam al-Bukhari membincangkan hal ini dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Solat, dan menamakan bab ini dengan nama

باب مَا يُذْكَرُ فِي الْفَخِذِ

Kemudian Imam al-Bukhari membawakan riwayat-riwayat berikut secara ta’liq
وَيُرْوَى عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ وَجَرْهَدٍ وَمُحَمَّدِ بْنِ جَحْشٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْفَخِذُ عَوْرَةٌ».

وَقَالَ أَنَسٌ حَسَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ فَخِذِهِ. وَحَدِيثُ أَنَسٍ أَسْنَدُ، وَحَدِيثُ جَرْهَدٍ أَحْوَطُ حَتَّى يُخْرَجَ مِنِ اخْتِلاَفِهِمْ.

وَقَالَ أَبُو مُوسَى غَطَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُكْبَتَيْهِ حِينَ دَخَلَ عُثْمَانُ.

وَقَالَ زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفَخِذُهُ عَلَى فَخِذِي فَثَقُلَتْ عَلَيَّ حَتَّى خِفْتُ أَنْ تُرَضَّ فَخِذِي.

Persoalannya apakah pendapat Imam al-Bukhari yang sebenarnya, adakah beliau menyebut secara jelas bahawa paha aurat, atau paha tidak aurat? 

Imam al-Bukhari menyatakan:

وَحَدِيثُ أَنَسٍ أَسْنَدُ، وَحَدِيثُ جَرْهَدٍ أَحْوَطُ حَتَّى يُخْرَجَ مِنِ اخْتِلاَفِهِمْ

Hadis Anas (yang menjadi dalil paha bukan aurat) adalah lebih kuat, dan hadis Jarhad (yang menunjukkan paha aurat) adalah lebih berhati-hati sehingga mengeluarkan daripada perselisihan para ulama.

Persoalan daripada kalam Imam al-Bukhari ini ialah: Adakah di sisi beliau paha aurat atau tidak kerana beliau tidak menyatakan secara jelas. Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam Fathul Bari:
قوله : ( وحديث أنس أسند ) أي أصح إسنادا ، كأنه يقول حديث جرهد ولو قلنا بصحته فهو مرجوح بالنسبة إلى حديث أنس .

Hadis Anas lebih asnad: Iaitu lebih kuat sanadnya. Seolah-olah beliau berkata hadis Jarhad walau kami menyatakan ia sahih, akan tetapi ia marjuh berbanding hadis Anas.
قوله : ( وحديث جرهد ) أي وما معه ( أحوط ) أي للدين ، وهو يحتمل أن يريد بالاحتياط الوجوب أو الورع وهو أظهر لقوله : ( حتى يخرج من اختلافهم ) و ” يخرج ” في روايتنا مضبوطة بفتح النون وضم الراء وفي غيرها بضم الياء وفتح الراء .

Hadis Jarhad dan hadis-hadis yang bersamanya itu lebih berhati-hati untuk agama. Barangkali yang dimaksudkan dengan berhati-hati ini ialah ia wajib ataupun wara’, dan ini lebih jelas pada kata-kata beliau: Sehingga mengeluarkan daripada perbezaan pendapat ulama’.

Jadi di sisi Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, yang terzahir ialah beliau menyatakan bahawa maksud lebih ahwat di situ adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk keluar daripada khilaf, dan bukannya sebagai wajib ditutup kerana ia aurat.

Imam Badruddin al-‘Aini dalam Umdatul Qari (iaitu rujukan yang Ustaz Lutfi sebutkan) menyatakan:

فأجاب البخاري عن هذا بقوله : وحديث أنس أسند إلى آخره تقديره أن يقال : نعم ، حديث أنس أسند يعني أقوى ، وأحسن سندا من حديث جرهد ، إلا أن العمل بحديث جرهد لأنه الأحوط يعني أكثر احتياطا في أمر الدين ، وأقرب إلى التقوى للخروج عن الاختلاف ، وهو معنى قوله : حتى نخرج من اختلافهم أي : من اختلاف العلماء ، وهو على صيغة جماعة المتكلم من المضارع بفتح النون ، وضم الراء .

ولأجل هذه النكتة لم يقل البخاري : باب : الفخذ عورة ، ولا قال أيضا : باب : الفخذ ليس بعورة . بل قال : باب : ما يذكر في الفخذ .

Al-Aini dalam perenggan di atas menyatakan bahawa maksud hadis Jarhad lebih ahwat ialah ia lebih berhati-hati dalam urusan agama, dan lebih dekat kepada taqwa dan keluar daripada khilaf sebagaimana yang Imam al-Bukhari sendiri sebutkan. Imam al-Aini menyimpulkan dengan berkata: Oleh kerana itu, Imam al-Bukhari tidak menyebutkan bab: Paha aurat, beliau juga tidak menyebutkan: Paha bukan aurat, sebaliknya beliau menyatakan: Apa yang dibincangkan tentang paha.

Apakah yang Ust. Lutfi mahu sampaikan? Adakah beliau mahu menyatakan Al-Aini berpegang bahawa al-Bukhari berpendapat paha aurat? Jika ini, maka kelihatan ia jauh daripada apa yang Al-Aini maksudkan, atau beliau maksudkan Imam al-Bukhari di sini tidak menyebut apakah pendapat beliau?

Ibn Rajab dalam Fathul Bari menyebutkan:
ومراد البخاري بهذا : الاستدلال به على أن الفخذ ليست عورة

Apa yang al-Bukhari maksudkan (dengan hadis Anas lebih Asnad) ialah berdalilkan dengannya bahawa paha bukan aurat.
Oleh kerana Imam al-Bukhari tidak menyebutkan secara jelas pendiriannya, maka kerana itulah para ulama berbeza-beza dalam berijtihad dalam menentukan apakah sebenarnya pendapat Imam al-Bukhari.

Dalam hal ini, Dr. Rozaimi kelihatan mengambil apa yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dan Ibn Rajab mengenai pendapat Imam al-Bukhari. Adakah hanya kerana beliau menyebutkan pendapat Al-Bukhari secara ringkas bahawa paha bukan aurat, maka terus dikatakan tidak wara dalam mengambil qaul Al-Bukhari?

Sedangkan isu yang dibahaskan ialah, paha aurat atau tidak. Sama juga seperti dalam banyak isu dalam fiqh Syafie yang berkaitan konsep ihtiyat. Contoh orang yang selesai solat, dan dia dapati pada pakaiannya ada najis sedangkan sebelum solat dia sudah periksa bahawa bajunya tiada nasjid, dan dia tidak tahu sama ada najis itu terkena pada bajunya ketika solat atau selepas solat. Di sisi mazhab Syafie, solatnya tetap sah, Cuma atas dasar ihtiyat tetap digalakkan mengulangi solat itu selepas membuang najis itu. Akan tetapi jika orang bertanya, solat pertama itu sah atau tidak, kita tetap akan jawab ia sah. Adakah hanya sebab kita jawab ia sah, maka kita sudah dikira tidak wara’ atau tidak amanah menukil pendapat mazhab Syafie?

Satu perkara yang perlu kita faham di sini, apabila kita berbicara paha aurat atau tidak, maksudnya kita membincangkan adakah ia wajib ditutup atau tidak pada asalnya,adakah berdosa membukanya disebabkan ia haram dibuka kerana ia aurat. Kita bukan membincangkan pendapat mana yang lebih selamat, apa yang digalakkan etc.
Berkaitan dengan hadis Jarhad. Ust Lutfi ada bangkitkan bahawa mengapa Dr Rozaimi tidak mengambilnya sebagai hujah? Ingin saya betulkan ayat ust Lutfi ini. Sebenarnya yang patut ditanya ialah mengapa sebahagian ulama tidak mengambil hadis ini sebagai hujah?

Ingin saya katakan bahawa hadis ini diperselisihkan status oleh ulama. Saya tidak nafikan bahawa ada ulama yang menilainya hasan dan ust Lutfi juga telah menyebutnya. Namun, jangan pula kita abaikan pandangan ulama yang mengatakan ia daif. Saya nukilkan pandangan ulama yang mendaifkannya:
1. Imam Bukhari juga mendaifkannya setelah meriwayatkannya dalam al-Tarikh al-Kabir.

2. Ibn Abdil Barr mengatakan ia hadis muttarib (bercanggah-canggah). Maka ia daif.

3. Ibn al-Qattan al-Fasi mengatakan sanadnya muttarib (bercanggah-canggah).

4. Abdul Haq al-Isybili mendaifkannya.

5. Ibn Abdil Hadi menyatakan bahawa ia daif.
Manakala riwayat Muhammad bin Jahsy walaupun ada yang menilainya salih namun terdapat perawi yang tidak dikenali dalam sanadnya seperti yang disebutkan oleh Ibn Rajab dan Ibn Hajar. Maka ruang untuk berbeza pendapat tetap ada dalam isu ini.
Begitu juga terdapat riwayat-riwayat lain menyatakan paha adalah aurat dan kesemuanya tidak terlepas daripada kritikan ulama hadis.
=====================

13- Dalam carian di Youtube saya mendapati ulama besar Saudi seperti sheikh Soleh Fauzan, Sheikh Ibnu Usaimin mewajibkan tutup peha ketika main bola

(Sheikh Soleh Fauzan )

 

https://youtu.be/zFkSYU7KcAE ( Sheikh Albani )

https://youtu.be/8zEe4la4778 ( Sheikh Ibnu Usaimin)

========================
Saya tertarik dengan hal ini. Satu perkara yang perlu kita jelas ialah topik yang dibincangkan ialah adakah paha aurat atau tidak. Adakah ia berdosa dibuka kerana ia haram sebab ia aurat. Dr. Rozaimi bukan membincangkan adakah ia tetap haram dibuka jika menimbulkan syahwat kepada orang sekeliling dan lain-lain. Topiknya ialah ‘adakah paha aurat?’.

Ust. Lutfi membawakan video Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin di atas. Shaikh dalam video di atas pada awal-awal lagi sudah menyatakan bahawa paha bukan aurat. Sebaliknya apa yang dia kata ialah berkaitan paha orang-orang muda kerana ia boleh menimbulkan fitnah. Saya nasihatkan ust Lutfi dengan nasihat yang sama beliau berikan kepada Dr Rozaimi iaitu hati-hatilah dalam menukil. Jangan gopoh.

Berikut adalah petikan daripada koleksi fatwa Shaikh Ibn al-Uthaimin:
170) وسئل فضيلة الشيخ :- حفظه الله تعالى – هل الفخذ عورة ؟

Shaikh ditanya: Adakah paha aurat.
فأجاب بقوله : هذه المسألة مختلف فيها :فمن أهل العلم من يرى أن الفخذ ليس بعورة بالنسبة للرجل ، وأنه لا يجب على الرجل ستره وظاهر كلامهم الإطلاق في الصلاة وغيرها ، ومنهم من يرى أن الفخذ عورة في الصلاة وغير الصلاة ، والأحاديث في ذلك : إما صحيحة غير صريحة ، وإما صريحة غير صحيحة ، ولذلك قال البخاري رحمه الله : إن حديث أنس يعني انكشاف فخد النبي صلي الله عليه وسلم الله عليه الصلاة أسند وحديث جرهد أحوط (1) . فكأن البخاري رحمه الله يقول الأحاديث الصحيحة تدل على أن الفخذ ليس بعورة ، لأنه بدا من النبي صلي الله عليه وسلم الله ، والنبي صلي الله عليه وسلم أشد الناس حياءً ، ولو كان الفخذ عورة ما كشفه الرسول عليه الصلاة والسلام ، لكن في حديث علي بن أبي طالب قول النبي صلي الله عليه وسلم : ” إن الفخذ عورة ” (2) . وقوله :”لا تكشف فخدك ولا تنظر إلي فخذ حي ولا ميت” (3) . ولكن هذه الأحاديث ضعيفة *والذي يظهر لي أن الفخذ ليس بعورة إلا إذا خيف من بروزه فتنة فإنه يجب ستره كأفخاذ الشباب *.

Beliau menjawab: Ini merupakan perkara yang ulama berselisih padanya…. Kemudian shaikh menyatakan: Seolah-olah Al-Bukhari ingin menyatakan bahawa hadis-hadis sahih menunjukkan bahawa paha bukan aurat. Ini kerana telah ternampak paha nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah manusia yang paling pemalu. Seandainya ia aurat, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan membukanya. Akan tetapi dalam riwayat Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, disebutkan sabda nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ‘Sesungguhnya paha aurat’, dan sabda baginda ‘Janganlah membuka paha kamu, dan jangan melihat paha orang yang hidup dan yang mati’. Akan tetapi hadis-hadis ini dhaif. Oleh itu yang jelas kepada ku ialah *paha bukan aurat. Ia bukan aurat kecuali apabila ditakuti fitnah apabila ia terbuka. Maka wajib menutupnya seperti paha pemuda-pemuda.*

[Majmu al-Fatawa wa al-Rasail, 12/266]
=============

14- Adapun beliau mengatakan dalil mazhab Syafie tidak kukuh perlu kita ketahui bahawa melihat kepada mereka yang mengatakannya tidak aurat kita dapat ketahui lemahnya kumpulan itu

15- Mereka yang mengatakan tidak aurat ialah kaum zohiri yang khilafnya tidak muktabar – Dr Rozaimie gemar menggunakan pendapat zohiri contohnya dalam bab qada solat

===========
Ada dua dakwaan di sini:
1- Yang menyatakan paha bukan aurat ialah Zahiri.

2- Khilaf golongan Zahiri tidak muktabar.

Oleh kerana Ust. Lutfi ada memetik daripada Umdatul Qari, maka saya fikir elok juga dinukilkan kembali siapakah para ulama yang berpegang kepada pendapat paha bukan aurat sebagaimana yang Imam al-Aini nukilkan.

Kata Al-Aini:

أما القوم الذين ذهبوا إلى أن الفخذ ليس بعورة فهم : محمد بن عبد الرحمن بن أبي ذئب ، وإسماعيل بن علية ، ومحمد بن جرير الطبري ، وداود الظاهري ، وأحمد في رواية ، ويروى ذلك أيضا عن الإصطخري من أصحاب الشافعي ، حكاه الرافعي عنه ،

Adapun para ulama yang berpendapat bahawa paha bukan aurat ialah: Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Dzib, Ismail bin ‘Ulayyah, Muhammad bin Jarir at-Thabari, Daud az-Zahiri, Ahmad dalam salah satu riwayat. Diriwayatkan jua hal ini daripada Abu Sa’id al-Istakhri yang merupakan daripada ulama mazhab Syafie, ia diriwayatkan oleh Imam al-Rafie daripada beliau.
Saya tertanya-tanya, adakah mereka semua yang disebutkan di atas adalah pengikut mazhab Zahiri jua? Atau ust Lutfi yang tidak teliti?

Isu besar antara mazhab Zahiri dan majoriti ulama yang lain adalah isu qias, adakah isu paha bukan aurat ini terhasil disebabkan perbezaan dalam penerimaan qias sebagai sumber hukum sehingga mahu dikatakan ia adalah pendapat mazhab Zahiri secara khusus.

Ust. Lutfi menyatakan bahawa khilaf golongan Zahiri adalah tidak muktabar. Persoalannya, adakah memang ijma’ para ulama menyatakan bahawa khilaf golongan Zahiri tidak muktabar? Ust Lutfi membayangkan seolah-olah ia isu ijmak di sisi ulama usul untuk tidak mengiktiraf langsung khilaf mazhab Zahiri.
Seorang ilmuan dari Arab Saudi bernama iaitu Dr. Abdus Salam menulis sebuah tulisan bertajuk: الاعتداد بخلاف الظاهرية في الفروع الفقهية .

Dr. Abdus Salam menyebutkan perbezaan pandangan para ulama dalam isu mengiktiraf pandangan mazhab Zahiri dalam khilaf isu-isu furu.

Pendapat pertama: Pandangan golongan Zahiri tidak diiktiraf secara mutlak

Pendapat kedua: Pandangan golongan Zahiri diiktiraf secara mutlak.

Pendapat ketiga: Pandangan golongan Zahiri diiktiraf apabila isu tersebut tiada kaitan dengan qias.

Pendapat keempat: Pandangan golongan Zahiri diiktiraf apabila ia hanya menyalahi qias khafiy, dan tidak diterima jika ia menyalahi qias jaliy.
Dan Dr. Abdus Salam merajihkan pendapat yang kedua. Bahkan ia adalah pandangan sebahagian ulama usul silam semisal Abu Mansur al-Baghdadi al-Syafie, al-Zahabi, Ibn al-Subki (walaupun beliau hanya khususkan khilaf Daud al-Zahiri semata), al-San’ani dan al-Syaukani.
===============

16- Dan satu lagi nukilan bahawa ia adalah mazhab Ibnu Jarir adalah salah seperti yang Imam Nawawi sebut didalam Majmuk kerana Ibnu Jarir sendiri dalam kitabnya mengkritik mereka yang mengatakan peha bukan aurat

17- Yang terakhir nama ulama itu bukan Jarir tetapi Ibnu Jarir dan Dr telah tertinggal

=================
Nyata di sini ust Lutfi tersilap nukil. Imam Nawawi tidak membantah pandangan paha bukan aurat adalah pandangan Ibn Jarir al-Tabari.
Di sini saya nukilkan apa yang Imam an-Nawawi sebutkan di dalam Al-Majmu’:
( فرع ) في مذاهب العلماء في العورة ، قد ذكرنا أن المشهور من مذهبنا أن عورة الرجل ما بين سرته وركبته وكذلك الأمة ، وعورة الحرة جميع بدنها إلا الوجه والكفين ، وبهذا كله قال مالك وطائفة وهي رواية عن أحمد وقال أبو حنيفة عورة الرجل من ركبته إلى سرته وليست السرة عورة . وبه قال عطاء *وقال داود ومحمد بن جرير وحكاه في التتمة عن عطاء عورته الفرجان فقط*

Dalam teks di atas, Imam an-Nawawi menukilkan dua nama ulama yang berpendapat paha bukan aurat iaitu Daud az-Zahiri dan Ibn Jarir at-Thabari. Tidak pula Imam an-Nawawi sebutkan kritikan kepada penisbahan pendapat ini kepada Imam Ibn Jarir.
Ya, benar, ada ulama yang mempertikaikan penisbahan pendapat ini kepada Ibn Jarir at-Thabari. Ulama tersebut ialah Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari, dan nukilan yang beliau kritik ialah nukilan daripada Imam an-Nawawi dalam Al-Majmu’ di atas.

قال النووي : ذهب أكثر العلماء إلى أن الفخذ عورة ، وعن أحمد ومالك في رواية : العورة القبل والدبر فقط ، وبه قال أهل الظاهر وابن جرير والإصطخري . قلت : في ثبوت ذلك عن ابن جرير نظر ، فقد ذكر المسألة في تهذيبه ورد على من زعم أن الفخذ ليست بعورة ،

Dalam petikan di atas Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan penisbahan pendapat itu kepada Ibn Jarir perlu diteliti semula. Ini Ibnu Jarir dalam Tahzibnya (sefaham saya iaitu Tahzib al-Atsar) telah menolak pendapat menyatakan paha bukan aurat.

Jadi jelas, yang mengkritik penisbahan ini bukanlah Imam an-Nawawi, sebaliknya Ibnu Hajar, dan nukilan yang Ibnu Hajar kritik ialah nukilan daripada Imam an-Nawawi.
Timbul persoalan tentang isu ini, jadi apakah pendapat Ibn Jarir yang sebenarnya. Penisbahan kepada Ibn Jarir pendapat paha bukan aurat disebutkan oleh ramai ulama seperti Ibn Abdil Barr, al-Qurtubi, al-Mawardi, Ibn Rajab, Al-Aini dalam Umdatul Qari, An-Nawawi dalam Al-Majmu’, Ibn Qudamah dalam Al-Mughni, Ibn Rajab al-Hanbali dalam Fathul Bari.

Berbalik kepada persoalan ini, apakah yang Ibn Jarir sebutkan dalam Tahzib al-Atsar mengenai hal ini? Saya cuba mencari dalam Tahzib al-Atsar akan hal ini akan tetapi tidak bertemu. Akan tetapi Imam al-Aini dalam Umdatul Qari ada menyebutkan:

وَقَالَ الطَّبَرِيُّ فِي كِتَابِ تَهْذِيبِ الْآثَارِ : وَالْأَخْبَارُ الَّتِي رُوِيَتْ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ دَخَلَ عَلَيْهِ أَبُو بَكْرٍ ، وَعُمَرُ ، وَهُوَ كَاشِفٌ فَخِذَهُ ، وَاهِيَةُ الْأَسَانِيدِ لَا يَثْبُتُ بِمِثْلِهَا حُجَّةٌ فِي الدِّينِ ،

At-Tabari berkata dalam Tahzib al-Atsar: Khabar yang diriwayatkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa Abu Bakar dan Umar masuk berjumpa beliau dalam keadaan baginda mendedahkan pahanya adalah riwayat yang lemah dan tidak ditetapkan hujah dalam agama dengan kelemahan seperti itu.
Dalam kalam Al-Aini ini beliau tidak menyatakan bahawa Ibn Jarir berpendapat paha aurat, sebaliknya beliau menyatakan Ibn Jarir menolak salah satu riwayat yang dijadikan hujjah bahawa paha adalah bukan aurat. Seperti telah ditunjukkan sebelum ini, Al-Aini merupakan salah seorang ulama yang menisbahkan pendapat ini kepada Ibn Jarir.
Adapun tersilapnya Dr. Rozaimi menyebut nama Ibn Jarir sebagai Jarir at-Thabari sahaja, saya fikir itu adalah tersasul yang biasa berlaku. Saya tidak tahu kenapa hal ini mahu jua dihighlight oleh Ustaz Lutfi. Adakah Ustaz Lutfi tidak pernah tersasul langsung ketika memberi kuliah?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Saya fikir, dengan melihat kepada perkara-perkara di atas. Ada banyak perkara yang perlu Ust. Lutfi jelaskan kembali apakah yang beliau maksudkan, dan adakah yang tertulis itu sama seperti yang beliau mahu katakan atau beliau jua ‘tersasul’ ketika menaip sehingga tertaip apa yang bukan beliau maksudkan, atau adakah beliau jua tersilap ketika menukilkan perkara tersebut yang mana ini memerlukan pembetulan fakta dan permohonan maaf sebagaimana yang Dr. Rozaimi lakukan. Persoalan berikutnya ialah adakah ust Lutfi bersedia untuk mengakui kesilapannya dalam nukilan? Dr Rozaimi sudah akui, ust Lutfi bagaimana? Saya menunggu keikhlasan ust Lutfi untuk mengakui kesilapan ini.
Saya menutup tulisan ini dengan peringatan bahawa saya tidak mahu memperleceh atau menghina Ust. Lutfi mahupun Sheikh Nuruddin al-Banjari. Saya tidak meredhai sesiapa pun yang menulis komen di ruangan page saya ini untuk memaki dan memberi gelaran tidak elok kepada mereka berdua mahupun asatizah yang lain. Ia adalah isu khilaf yang memang berlaku sejak dahulu. Walaupun Dr Rozaimi berpegang dengan pandangan minority berdasarkan pendiriannya tetapi beliau juga menegaskan keperluan untuk berpakaian sopan selari dengan adab dan uruf masyarakat.

Suka jua saya ingatkan bahawa tulisan ini bukan mahu merajihkan pendapat mana yang lebih kuat paha aurat atau tidak. Bahkan dalam isu ini, saya sendiri masih bertaqlid dengan pendapat majoriti ulama bahawa paha adalah aurat berdasarkan hujah-hujah yang telah saya baca sebelum ini.

Melihatkan kritikan kepada Dr. Rozaimi berkaitan kesilapan menukilkan fatwa ulama. Alhamdulillah, kita patut bersyukur bahawa masyarakat sedar pentingnya memeriksa kesahihan maklumat yang dinisbahkan kepada ulama atau mazhab. Seandainya kepada ulama dan mazhab pun kita perlu pastikan kesahihan penisbahan sesuatu pendapat, sudah pasti tidak syak lagi kita lebih utama untuk memastikan kesahihan sesebuah hadis yang disandarkan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Seandainya sesebuah penisbahan kepada ulama atau mazhab itu kita anggap lemah kerana ia bercanggah dengan apa yang disebutkan dalam kitab-kitab yang menyimpulkan qaul muktamad setiap mazhab, lalu apa alasan kita untuk menerima bulat-bulat sesebuah hadis yang dinukilkan oleh seseorang ulama tanpa memeriksa kesahihannya di sisi ulama hadis, apatah lagi untuk menerima hadis yang tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis!

Alhamdulillah, masyarakat akhirnya sedar bahawa para asatizah yang mengajar tidak maksum, mereka terdedah kepada kesilapan. Sikap kritis begini perlu diteruskan agar dapat menjaga ketulenan agama Islam ini. Mengkritik dengan cara yang baik, bertanyakan dalil dan sumber rujukan, itu semua bukan lambang tidak menghormati ilmuan yang mengajar, itu semua adalah lambang kesungguhan kita memastikan kebenaran fakta yang disampaikan.

-Saya ada memberitahu kepada Dr. Rozaimi tentang tulisan saya ini, mana tahu beliau mahu berkongsinya di page beliau, akan tetapi Dr. Rozaimi menyatakan beliau tidak mahu memanjangkan lagi hal ini. Cukup dengan pembetulan yang telah beliau lakukan.-

Mohd Masri Mohd Ramli

26/7/2017

Dipertik daripada Facebook Ustaz Masri. Semoga Allah kurniakan kebaikan kepada beliau

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.