Nabi Suruh Baca al Waqiah Pada Malam Hari, Tapi Kita Baca Yasin?

Nabi Suruh Baca al Waqiah Pada Malam Hari, Tapi Kita Baca Yasin?

Tidak semua kita hidup dengan serba senang. Lebih-lebih lagi pada zaman kini dengan keadaan yang makin menekan hari ini. Sejak Pandemik Covid 19 melanda seluruh dunia, semuanya berubah. Makin ramai yang susah. Malah, ramai M40 sudah turun kepada kategori B40. Semoga semua kita dipermudahkan Allah dalam segala perkara.

Mahalnya kata-kata Nabi kita.

Nabi kita, Muhammad saw dikenal sebagai al Amin, yang amanah dan tidak pernah berbohong. Baginda disegani kawan dan lawan. Segala perkataan yang keluar daripada mulut baginda saw dipercayai dan amat dihargai pada zaman baginda, hinggakan ada sahabat memilih untuk sentiasa berdamping dengannya bagi mengumpulkan sebanyak mungkin kata-katanya. Kenapa? Kerana kata-kata baginda saw nilainya amat tinggi. Baginda tidak berkata-kata berdasarkan hawa nafsu melainkan semuanya adalah dalam petunjuk Allah.

Setelah kita tahu akan betapa besarnya nilai kata-kata baginda, penuh kebenaran, hikmah dan kebijaksanaan, maka kita perlu turut tanam rasa yang sama.

Apa kata Nabi terhadap surah al Waqiah?

Terdapat pelbagai hadis dan riwayat tertentu yang menceritakan tentang kelebihan dan fadhilat beramal dengan surah tertentu bagi mendapat manfaat di dunia serta akhirat.

Ini seperti pengamalan membaca surah al-Waqiah, Imam Syaukani menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Surah al-Waqiah mengandungi Sembilan puluh tujuh ayat atau sembilan puluh enam ayat dan diturunkan di Makkah. (Lihat Fathu al-Qadir, 5/176).

Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya

Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)

Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:

سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ

Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.

(Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)

Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»

Maksudnya: Apakah engkau risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”

(Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

Jelaslah betapa bernilainya amalan membaca surah al Waqiah setiap malam. Ganjarannya adalah ia tidak akan faqir selama-lamanya. Sesuai dengan zaman yang penuh tekanan hari ini (malah sesuai sepanjang masa).

Jika kita telusuri media seperti youtube, banyak sahaja mereka yang dipercayai menceritakan pengalaman seseorang yang beramal dengan amalan di atas dan kesan pertambahan rezeki dalam hidupnya. Maka, apa tunggu lagi, beramallah. Dan jangan lupa, bacalah maknanya sekali, agar mesej dalam surah tersebut sampai kepada kita sebagai seorang yang bukan Arab.

Salah ke baca yasin?

Tentu sekali tidak salah. Tetapi, seolah-olah kita ini sombong terhadap tawaran Nabi. Nabi dah tunjukkan untuk keluar daripada kemiskinan dengan membaca al Waqiah setiap malam, tetapi kita baca Yasin? Dan, inikah tanda kita cinta pada Nabi? Mereka yang mabuk cinta akan melakukan apa sahaja yang disarankan oleh orang yang dicintainya. Atau, cinta Nabi itu hanya pada lafaz dan cinta PALSU?

Bagaimana pula Surah Yasin? Mufti Wilayah KL ada menulis berkenaannya di sini. Dalamnya ada ulasan yang lebih terperinci. Saya kutip sedikit kesimpulan daripadanya iaitu:

Setelah kami melihat terhadap hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa kebanyakan hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin adalah dhaif (lemah) atau palsu.

Web Mufti WPKL

Bersama-samalah kita belajar dan mengikut cara Nabi dan Sahabat. Semoga bermanfaat. WA.

Rujukan: Web Mufti Wilayah KL

Leave a Reply

2 thoughts on “Nabi Suruh Baca al Waqiah Pada Malam Hari, Tapi Kita Baca Yasin?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.