Kiblat Kita Adalah Tanah Suci Makkah

Kiblat Kita Adalah Tanah Suci Makkah

Hangat sedang viral, suatu post di laman sosial mengatakan jika tidak betul kiblat kita, boleh jadi akan mengarahkan ke arah Baitul Maqdis, lalu solat kita tidak sah. Malah ditakutkan lagi dengan pernyataan:

kalau terpesong 1 darjah, akan menyebabkan pesongan 122 kilometer dari kedudukan sebenar Kaabah

Ini menyebabkan sesiapa yang belum sampai berkenaan ilmu fiqh berkenaan kiblat ini akan risau, dan mungkin was-was. Padahal, dalam ilmu fiqh, tidak sesukar itu.

Berijtihad arah Kiblat adalah perlu dilakukan bagi menentukan arah Kiblat masjid, surau dan tempat-tempat yang hendak didirikan solat. Mengikut keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, menghadap Kiblat menjadi syarat sah solat. Bagi Mazhab Syafie terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap Kiblat iaitu:-

i. Bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitullah (Kaabah) atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan Kiblat dengan cara ini dinamakan “Kiblat Yakin”.

ii. Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah (Kaabah) iaitu yang berada di luar Masjidil Haram dan di sekitar Tanah Suci Makkah hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Oleh yang demikian cara ini dinamakan “Kiblat Dzanni”. Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah.

iii. Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar tanah suci Makkah hendaklah menghadap ke arah tanah suci Makkah dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.

Maka, cuba lihat, bagaimana kiblat mereka yang berada di luar tanah suci Makkah, hendaklah menghadap ke arah tanah suci Makkah, bukan Kaabah secara tepat (sehingga menyukarkan), dan ia sudah memadai.

Secara mudahnya, selain daripada penggunaan kompas, kita boleh menggunakan telefon pintar sebagaimana kita telah memanfaatkannya dengan teknologi GPS semada kita membawa kenderaan, sehingga sekarang kita tidak perlu lagi risau untuk bermusafir, insya Allah akan dapat sampai ke destinasi.

Maka, telefon pintar juga boleh digunakan sebagai usaha carian arah kiblat. Cumanya, jika kita berada dalam bangunan, perlu kita ke tepi tingkap supaya dapat menerima isyarat satelit dengan lebih jelas, semasa mencari arah kiblat.

Jika kita upah ahli falak untuk mencari arah kiblat, dan dilekatkan di atas lantai atau siling rumah kita sticker arah kiblat sekalipun, adakah kita pasti badan kita tidak berganjak pun 1 darjah? Kalau kita terbatuk sekali pun boleh berpindah satu darjah.

Saya risau, perkara ini dijadikan suatu perniagaan, dan menggambarkan Islam itu sukar. Sedangkan Islam adalah mudah. Tidak membebankan.

Bagi mereka yang ada niat untuk panggil ahli falak dengan niat menyediakan ruang perkerjaan, saya tidaklah menghalang. Cuma, promosi sehingga jika tidak memanggil ahli falak, maka kemungkinan solat tidak sah adalah suatu yang tidak wajar.

Ulasan terperinci: https://www.muftiwp.gov.my/unit-falak2/149-soalan-soalan-lazim-falak/4023-kiblat

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.