
Kenapa Pinggan Fine Bone China Halal?
Apakah Fine Bone China?
Bone China adalah produk tembikar berkualiti tinggi yang sering digunakan sebagai perhiasan dan juga peralatan makan dan minum oleh kalangan masyarakat elit kerana harganya yang amat tinggi. Bone china merupakan produk porselin yang mengandungi abu tulang (bone ash), kaolin, dan Cornish stone.
Bagaimana terhasilnya Fine Bone China.
Tulang yang telah dibersihkan akan dipanaskan pada suhu 800-1000 darjah celcius bagi menghilangkan lemak dan gelatin pada tulang. Kemudian ia akan dikisarkan agar saiz partikel tulang mengecil sehingga 70-80% dan diameter kurang 10µm. Setelah itu, ia diperam selama tiga hingga empat minggu sehingga menghasilkan pati tulang.
Kebiasaannya, abu tulang diambil daripada tulang lembu. Tulang lembu sangat sesuai digunakan dalam pembuatan bone china. Tulang lembu mempunyai kandungan iron yang rendah serta berfungsi menghasilkan warna lebih putih dan bersifat lut cahaya terhadap produk bone china.
Sebaliknya, tulang kuda dan babi tidak sesuai digunakan kerana mempunyai kandungan iron besi yang tinggi serta memberi kesan negatif terhadap penghasilan warna bone china. Warna yang terhasil adalah kekuningan atau keperangan.
Abu tulang akan diadun bersama kaolin dan Cornish stone. Adunan yang terhasil akan dibentuk untuk menghasilkan jasad bone china yang sempurna. Penghasilan jasad bone china perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembakaran. Proses pengeringan dilakukan bagi menyingkirkan air di dalam jasad bone china serta mengurangkan keretakan selepas proses pembakaran.
Proses Pembakaran Bone China
Bone China mempunyai tiga peringkat pembakaran iaitu Biscuit Firing; Glost Firing dan Enamel Firing. Biscuit Firing menggunakan suhu yang tinggi, antara 1200-1250 darjah celcius. Ketika suhu 850 darjah celcius, proses pengacaan atau kemasan mula terbentuk.
Dalam julat 1250 darjah celcius, fluks melebur, fasa kekaca terbentuk, dan perubahan hablur berlaku bagi meningkatkan sifat kekerasan dan lut cahaya pada jasad bone china. Masa pembakaran yang diambil adalah selama 17 hingga 20 jam. Biscuit Firing akan menghasilkan permukaan bone china yang licin tanpa liang.
Glost Firing merupakan peringkat kedua, iaitu pembakaran barangan seramik yang telah disalut. Glost Firing merupakan pembakaran pada suhu yang lebih rendah. Bahkan masa pembakaran lebih singkat berbanding Biscuit Firing.
Ketiga, Enamel Firing merupakan penghasilan kemasan atau salutan yang keras pada permukaan logam atau seramik. Enamel Firing juga merupakan pembakaran tambahan untuk mengekalkan hiasan pada permukaan.
Istihalah
Merujuk kepada proses pembakaran bone china di atas, kedua-dua proses ini mempunyai persamaan dengan kaedah penyucian Islam iaitu istihalah. Proses-proses ini telah merubah sifat asal bahan menghasilkan bahan baru yang berbeza dari aspek zat dan fizikal. Oleh itu, kedua-kedua proses ini diaplikasikan sesuai dengan teori istihalah dalam Islam.
Apa itu Istihalah?
Istihalah merujuk kepada perubahan sesuatu yang najis kepada sesuatu yang suci. Berdasarkan pandangan Wahbah Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menghuraikan istihalah sebagai proses perubahan zat asal (najis) kepada zat baru (suci). Contohnya, sesuatu yang najis bertukar menjadi suci atau sesuatu yang diharamkan berubah menjadi sesuatu yang diharuskan oleh syarak (Wahbah Zuhayli, 1997). Contoh mudahnya adalah air nira yang bertukar kepada air tuak, kemudiannya bertukar kepada air cuka yang halal.
Kenapa Pandangan Fine Bone China Halal Adalah Lebih Teguh?
- Istihalah sudah berlaku semasa proses pembuatan.
- Penggunaan tulang lembu adalah lebih sesuai berbanding tulang babi. Kemungkinan penggunaan tulang lembu adalah lebih tinggi.
Analisis fatwa-fatwa bone china yang diwartakan melibatkan beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.
Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) belum mengeluarkan fatwa berkenaan dengan bone china. Tetapi, terdapat sebuah panduan agama (irsyad) yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Singapura yang membahaskan isu ini. Irsyad merupakan sebuah panduan agama, dan bukan fatwa yang diwartakan. Irsyad tersebut berbunyi (Majlis Ugama Islam Singapura, 2011):
“Bone china adalah sejenis tembikar baru yang menggunakan tulang binatang sebagai salah satu dari kandungannya. Tulang tersebut dibakar sehingga 1000 darjah celsius sehingga berubah sifat dan bentuknya. Bone china kemudian dicampur dengan bahan-bahan lain seperti tanah liat untuk menjadikannya keras, dan dipanggil sebagai bone china. Oleh kerana sifat tulang tersebut telah berubah, dan juga bone china telah bercampur secara halus dengan bahan-bahan lain, maka bejana dari “bone china” boleh digunakan untuk menyediakan makanan. Bone china bukan najis.”
Analisis fatwa bone china daripada (MUIS), berdasarkan kenyataan daripada buku panduan irsyad ternyata sandaran yang digunakan berasaskan konsep istihalah (Izal bin Mustafa, 2011). Kaedah istihalah didefinisikan Ibn al-`Arabi sebagai perubahan bahan najis menjadi suci dari aspek zat dan sifat-sifatnya. Zat dan sifat-sifatnya berubah menjadi bahan baru dan hukumnya juga berubah menjadi suci (Muhy al-Din Ibn `Arabi, 1961). Oleh itu, hukum penggunaan bone chinaadalah diharuskan oleh syarak.
Pada 29 Februari 2008, Halal Monitoring Committee (HMC) di United Kingdom telah mengeluarkan sijil halal kepada syarikat Istipitar Sdn. Bhd. seperti berikut (t.n) (2009):
Hasil daripada analisis terhadap produk Ansley’s Bone China yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemantauan Halal (HMC), mereka menyimpulkan bahawa: “Keputusan akhir analisis yang dilakukan terhadap bahan-bahan mentah yang digunakan dalam produk bone china tidak mengandungi unsur-unsur haiwan yang tidak halal, bahkan menggunakan 100% daripada abu tulang lembu”. ” Sijil halal ini dikeluarkan pada 29 Februari 2008”.
Berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh HMC, Zainal Hisyam Yusuf yang merupakan Ketua Eksekutif di Istipitar Sdn. Bhd. menegaskan bahawa produk bone china yang dijual adalah halal dan boleh digunakan oleh orang Islam tanpa sebarang keraguan. Selain itu, pihak HMC telah menganalisis bahawa pembuatan jenama Ansley’s Bone China tidak dimasukkan bahan haram, bahkan hanya menggunakan tulang lembu sepenuhnya. Oleh itu, penggunaan pinggan mangkuk Ansley’s Bone China adalah harus bersandarkan kepada sijil halal yang dikeluarkan di United Kingdom.
Kesimpulan
Sebagai tambahan, jika dikaji sekalipun dalam YouTube oleh mereka yang bertauliah serta sangat boleh dipercayai, sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh menyokong Halalnya Pinggan Fine Bone China ini. Antaranya adalah proses Istihalah yang telah dibincangkan tadi. Proses penyucian ini merupakan suatu hujah yang kuat dalam menyokong kehalalan Fine Bone China ini.
Kemudian, kewujudan lapisan luar yang menyaluti pinggan Bone China tersebut. Pinggan yang bercampur tulang tersebut merupakan teras, dan pinggan tersebut disaluti oleh lapisan lain. Lapisan luar tersebut adalah daripada bahan yang halal. Jika ada yang mengatakan bahawa Bone China tersebut masih haram, ia adalah lapisan di sebelah dalam.
Apapun, pada pandangan peribadi, saya lebih menyokong pandangan yang mengatakan ia adalah Halal.
Wallahua’lam.
Nota:
Tulisan di atas adalah ringkasan daripada rujukan utama daripada USIM. Rujukan Utama: Analisis Fatwa-Fatwa Bone China Dari Perspektif Hukum Islam http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/14106/1/40-128-1-PB.pdf
Ia juga bagi meringkaskan dan memudahkan pemahaman secara layman bagi post-post saya di bawah:
Analisis Proses Penghasilan Pinggan Mangkuk Fine Bone China http://notapadat.com/analisis-proses-penghasilan-pinggan-mangkuk-fine-bone-china/; Istihalah Dalam Perspektif Hukum Islam http://notapadat.com/istihalah-dalam-perspektif-hukum-islam/; Perbincangan Hukum Pingan Mangkuk Fine Bone China https://notapadat.com/perbincangan-hukum-pinggan-mangkuk-fine-bone-china/
Leave a Reply
2 thoughts on “Kenapa Pinggan Fine Bone China Halal?”
MasyaAllah..terima kasih kepada saudara penulis dan empunya article atas kompilasi2 kajian dan analisis2 berkaitan yang sangat bermenafaat ini. Saya kira bahan2 bacaan ini telah dapat membantu memberi ketenangan pada keresahan dikalangan kaum wanita, saya salah seorang daripadanya. Semoga Allah SWT redha dan mengganjari usaha saudara dengan berlipatganda.
Wassalam
MasyaAllah..terima kasih kepada saudara penulis dan empunya article atas kompilasi2 kajian dan analisis2 berkaitan yang sangat bermenafaat ini. Saya kira bahan2 bacaan ini telah dapat membantu memberi ketenangan pada keresahan dikalangan kaum wanita, saya salah seorang daripadanya. Semoga Allah SWT redha dan mengganjari usaha saudara dengan pahala yang berlipatganda. Aamiin.
Wassalam