Istihalah Dalam Perspektif Hukum Islam

Istihalah Dalam Perspektif Hukum Islam

Berikutan perbincangan berkenaan Fatwa Pinggan Mangkuk Fine Bone China pada post yang lepas, ia telah menceritakan berkenaan istihalah semasa proses pembuatan pinggan mangkuk berkenaan yang telah menyebabkan lahirnya fatwa harus menggunakan pinggan mangkuk Fine Bone China ini.

Sekarang, mari kita teliti penulisan berkenaan Istihalah ini oleh Norhidayah binti Pauzi dan Saadan bin Man (Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

Secara umumnya, istihalah bermaksud perubahan atau tranformasi (Abd dan Oemar, 1993). Istihalah merujuk kepada perubahan sesuatu yang najis kepada sesuatu yang suci (Abu al-`Abbas Ahmad, t.t).

Ibn Hajar al-Haytami berpandangan bahawa istihalah merupakan perubahan pada sifat atau fizikal bahan tetapi zat bahan tetap kekal (tiada perubahan) (Ibn Hajar al-Haytami, 2001).

Manakala, pandangan Wahbah Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menghuraikan istihalah sebagai proses perubahan zat asal (najis) kepada zat baru (suci). Contohnya, sesuatu yang najis bertukar menjadi suci atau sesuatu yang diharamkan berubah menjadi sesuatu yang diharuskan oleh syarak (Wahbah Zuhayli, 1997).

Ibn `Abidin menegaskan bahawa istihalah ialah perubahan zat yang berlaku dalam dua keadaan, sama ada perubahan secara keseluruhan (kulli) atau perubahan secara sebahagian (juz’i). Contohnya, pemprosesan buah zaitun yang terkena najis menjadi sabun dan arak bertukar menjadi cuka sama ada melalui proses semulajadi atau bukan semulajadi (Ibn `Abidin, 1966).

Ibn Nujaym dalam kitabnya al-Bahr al-Ra’iq menyatakan (Ibn Nujaym 1968):

“Sesuatu perkara yang sifat asalnya najis kemudian berubah menjadi zat yang suci seperti arak yang bertukar menjadi cuka. Para fuqaha tidak berbeza pandangan dalam perkara ini. Demikian juga, bangkai babi yang terjatuh ke dalam garam dan ia berubah menjadi garam. Maka, garam yang terhasil adalah suci. Begitu juga, najis binatang yang dibakar sehingga berubah menjadi abu. Maka, abu yang terhasil juga adalah suci.”

Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla turut menegaskan (Ibn Hazm, 1988):

“Sesuatu sifat bahan najis yang telah berubah menjadi  sifat suci, maka namanya juga akan berubah dan sifat najisnya juga terbatal. Oleh itu, bahan baru yang terhasil berbeza dari aspek nama, zat dan ciri-cirinya. Ia bukan lagi menjadi bahan najis yang haram. Bahkan, ia telah berubah menjadi bahan baru yang mempunyai hukum yang berlainan. Manakala, sesuatu sifat bahan suci yang berubah menjadi najis, maka nama juga bertukar menjadi bahan najis seperti jus buah- buahan yang menjadi arak, air minuman yang berubah menjadi air kencing, makanan yang berubah menjadi najis manusia, najis dan air kencing manusia dan haiwan yang digunakan sebagai baja untuk mengeluarkan buah-buahan yang halal dan beberapa contoh yang berlainan.”

Ibn Taymiyyah juga menyatakan di dalam al-Fatawa al-Kubra (Ibn Taymiyyah, t.t):
“Riwayat daripada Imam Ahmad, Imam Malik, Abu Hanifah serta ulama Zahiri dan lain-lain menyatakan najis boleh menjadi suci melalui proses istihalah. Pandangan ini adalah pandangan yang lebih tepat. Mereka berpandangan, apabila binatang telah berubah menjadi tanah, maka hukumnya berubah menjadi suci. Selain itu, sesuatu yang terjatuh ke dalam tempat garam kemudian berubah menjadi garam maka hukumnya turut berubah.”

Sepertimana yang diketahui, pembakaran atau ihtiraq merupakan salah satu medium penyucian istihalah dalam syariat Islam (Ibn Nujaym 1968). Pandangan ini majoritinya disepakati oleh mazhab Hanafi. Antaranya, Ibn Taymiyyah menegaskan bahawa asap yang terhasil daripada perbakaran bahan najis adalah suci, malah tanah yang terkena najis yang kemudiaannya dibentuk menjadi barangan tembikar juga akan menghasilkan tembikar yang suci (Ibn Taymiyyah, t.t).

Merujuk pandangan ulama semasa yang membincangkan teori istihalah, Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani menyatakan bahawa teori istihalah sebagai percampuran antara bahan najis dengan bahan suci yang merubah zat najis kepada zat yang suci atau sebatian zat antara bahan halal dan bahan haram sehingga ia tidak boleh diasingkan (Anisah Ab. Ghani, 2011).

Manakala, Prof. Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid mendefinisikan teori istihalah sebagai teori pencernaan. Teori pencernaan akan merubah bahan asal membentuk bahan baru yang berbeza dengan bahan asal. Istihalah melibatkan agen mekanisme perubahan secara mekanikal dan bukan mekanikal. Contoh proses istihalah secara mekanikal ialah air kumbahan yang telah melalui proses penyulingan mampu menghasilkan air minuman yang suci. Manakala, contoh proses istihalah secara bukan mekanikal ialah wang hasil perjudian dihulurkan ke dalam badan baitulmal menghasilkan wang yang halal untuk diagihkan kepada fakir miskin (Mahmood Zuhdi, 2011).

Berdasarkan beberapa pandangan-pandangan ini, istihalah dapat dirumuskan sebagai perubahan zat asal kepada zat baru secara semulajadi atau bukan semulajadi (Wahbah al-Zuhayli, 1997). Perubahan yang terhasil akan merubah sifat secara keseluruhan meliputi nama, warna, rasa, dan bau. Kaedah fiqh yang sesuai digunakan, ialah bahan najis apabila berubah keadaannya (menjadi suatu bahan lain) maka hukumnya menjadi suci. (Mahmud Isma’il Muhammad Mish`al, t.t). Struktur teori istihalah mempunyai kerangka asasnya yang tersusun dan tersendiri. Berasaskan struktur teori istihalah di atas, bahan akhir yang terhasil akan menentukan sesuatu hukum.

Rujukan Utama: Analisis Fatwa-Fatwa Bone China Dari Perspektif Hukum Islam

Perbincangan Hukum Pinggan Mangkuk Fine Bone China

Analisis Proses Penghasilan Pinggan Mangkuk Fine Bone China

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.