
Horoskop, Motivasi, Metafizik Semakin Menarik Peminat Sedangkan Ia Adalah Berdosa
Semalam selepas menceritakan parangai salah seorang anak kepada rakan sekerja ketika minum petang, dia berkata bahawa terdapat satu pandangan daripada seorang penceramah terkenal berkenaan perangai anak.
Katanya, anak kedua ini samada ia paling berjaya atau paling tidak berjaya. Kalau saya sebut nama penceramah tersebut, kita semua pasti kenal, kerana wataknya seperti orang yang beragama.
Saya membantah, mana boleh kaitkan turutan anak dengan perangainya. Perangai anak ini dibentuk dengan suasana dan didikan, sebab itu ada didikan agama untuk kanak-kanak, contohnya Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Dalam Islam) – Abdullah Nasih Ulwan.
Jika kita percaya dengan sikap anak dikaitkan dengan turutan anak, maka sama sahaja kita dengan orang kafir yang percaya bahawa nombor 4 memberi celaka, dan sebagainya.
Hari ini saya membuat sedikit carian berkenaan beberapa kajian lain yang dilakukan olehnya, terkejut saya kerana banyak kajian yang dikaitkan dengan waktu kelahiran seseorang. Berdasarkan tarikh kelahiran, hari dilahirkan, bulan dilahirkan, kita dapat tahu akan sikap seseorang.
Hal ini sudah hampir kepada ramalan, sedangkan ramalan ini dilarang keras dalam Islam. Islam tidak percaya kepada nasib ditentukan oleh nombor-nombor dan sebagainya.
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Riwayat Ahmad, no. 406
Maksudnya: “Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”
Sekiranya nasib kita ini sudah ditentukan oleh nombor-nombor, tarikh lahir dan sebagainya, maka apa guna nasihat Islam supaya berusaha dan berkerja. Ia sama sahaja seperti orang yang membatalkan perjalanan hanya kerana ada seekor biawak melintas jalan di hadapan, kerena ia percaya akan ada nasib malang. Sikap ini adalah dosa.

Cuba kita tanya pada mereka yang percaya itu, kenapa tarikh lahir itu perlu ditambah, kenapa tidak didarab, dibahagi, ditolak? Bagaimana hendak dibuktika perkara ini benar, sedangkan ia suatu yang ghaib? Tidakkah penat serta membuang masa mempercayai sesuatu yang tidak benar?
Meskipun penceramah terkenal tersebut mengatakan telah melakukan kajian terhadap jutaan manusia, puluhan juta manusia, ia masih boleh diragui. Perkara ini tiada asas yang kukuh. Contohnya, dia mengatakan sesiapa yang lahir pada bulan Februari ada sikap begini dan begini, bulan April pula, begini dan begini. Kita boleh bertanya balik kepadanya, kenapa tidak bulan-bulan Hijrah? Horoskop sebegini langsung tiada asas. Langsung tiada.
Masa depan seseorang adalah termasuk dalam hal ghaib yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT.
قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
(Surah al-A’raf: 188)
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.
Nabi Muhammad sendiri tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu mudarat atau manfaat, melainkan apa yang Allah kehendaki. Segala perkara yang akan berlaku adalah suatu yang ghaib. Perkara ghaib ini hanya dalam ilmu Allah, dan hanya dapat diketahui melalui wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w.
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
(Surah al-Naml: 65).
Maksudnya: “Katakanlah: “Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah. ”
Ramalan nombor, money magnet, amalan “cium duit”, sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa di sisi Islam. Begitu juga tidak ada nombor-nombor tertentu yang memberi aura berbeza sebagaimana yang dinyatakan oleh segelintir masyarakat kita dalam program-program motivasi.
Dalam masa yang sama, larangan ini juga dimasukkan dalam Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM iaitu: Tidak menggunakan apa jua bentuk atau kaedah yang mempunyai unsur-unsur meramal nasib atau masa hadapan seperti kaedah numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, rahsia abjad, rahsia tahi lalat,rahsia tulisan tangan, ilmu astrologi dan seumpama dengannya.
muftiwp.gov.my
Semoga kita menginsafi akan kepentingan menjaga aqidah dan lebih berhati-hati ketika melibatkan diri dalam apa-apa program training dan motivasi.
Wallahua’lam
Leave a Reply