
HANYA ALLAH YANG TAHU PERKARA GHAIB
Alam ini terbahagi kepada dua iaitu alam nyata dan juga alam ghaib. Hakikatnya manusia hidup dalam alam nyata yang dapat dilihat oleh mata kasar. Manakala alam ghaib ini adalah suatu yang tersembunyi daripada manusia.
…وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فَـَٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ
…Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.
-Surah Aal-E-Imran, Ayah 179
Setiap berita ghaib yang telah kita dengar adalah sesuatu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad yang merupakan wahyu daripada Allah ta’ala. Hal ini kerana nabi sendiri pun tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang Allah Ta’ala sampaikan kepada baginda. Banyak sekali dalil-dalil dalam al-quran yang menerangkan hal ini termasuklah ayat yang di atas.
Antara contoh perkara ghaib adalah seperti berikut:
– Kisah alam jin
– Kisah-kisah nabi Khidir
– Bilakah akan keluarnya dajjal
– Di mana dajjal akan muncul
– Bilakah imam Mahdi diturunkan
Pernah Nabi Muhammad ditanya tentang bilakah akan berlaku hari kiamat. Nabi mengatakan bahawa itu adalah ilmu Allah dan baginda tidak mengetahuinya. Hanya apa yang Allah Ta’ala beritahu sahaja itulah yang Nabi Muhammad tahu.
وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ
Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
قُلۡ إِنَّمَا ٱلۡعِلۡمُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٞ مُّبِينٞ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.
-Surah Al-Mulk, Ayah 25-26
Nabi yang kekasih Allah itu pun masih menafikan apa yang dia tidak tahu. Baginda tidak mudah-mudah untuk menjawab semua soalan yang ditanya, melainkan apa yang baginda tahu itulah yang akan diberitahu.
Maka kita perlu berhati-hati dalam mengambil ilmu hari ini. Jika ia berkaitan dengan sesuatu yang ghaib maka perlulah kita tapis kerana hanya apa yang berlandaskan al-quran dan sunnah sahaja itulah yang benar.
Semoga bermanfaat, wallahua’lam.
Leave a Reply