Cermin Diri

Cermin Diri

Cerminlah Diri

2944366145_7ca6f056af_o

Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w.

“Jikalau seseorang hamba itu datang padaKu sejengkal, maka Aku datang padanya sehasta dan jikalau ia datang padaKu sehasta, maka Aku datang padanya sedepa. Jikalau hamba itu datang kepada Ku Aku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.”

(Riwayat Bukhari; Hadith Qudsi)

Berada dalam majlis ilmu amat membantu hati mendekati Pencipta. Walau terkadang kita fikir atau mungkin juga pernah terlintas dalam hati, sedikit menyesal apabila bertandang ke majlis yang ilmu telah pun kita dalami dan fahami.

Namun itu fikir kita. Mengapa tidak kita lintaskan dalam hati kita, nikmatnya barakah berada dalam majlis yang turut disertai para malaikah ini? Mana letak syukur kita setelah terpilih daripada ratusan ahli qaryah untuk mewakafkan jasad dan roh kita dalam majlis tersebut?

Bezanya mereka yang benar-benar menerima anugerah ilmu ini, seolah-olah pemilik cermin yang sudah pudar berkabus. Diambil olehnya kain dan tisu-tisu daripada majlis tadi, kemudian digilapkan cermin itu.

Makin kerap dicuci dan dibersihkan, makin jelas biasan dirinya di dalam cermin itu. Maka makin terlihatlah kekurangan yang ada pada dirinya sedikit demi sedikit.

Dan demikian juga kiasannya dengan ilmu yang menjadi cermin itu tadi. Makin penuh ilmu didada, makin keraplah ia terserempak dengan kekurangan dan ketempangan pada dirinya. Sudah pasti, ia akan lebih khusyuk menilai diri daripada menilai orang lain.

Bukankah mereka yang terlalu sibuk mencari silap orang lain, kerap lupakan silap diri sendiri?

Leave a Reply

3 thoughts on “Cermin Diri

  1. “Dia lah Allah Yang menciptakan, Yang mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-nama Yang Paling Baik. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi . Dan Dia lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al Hasyr: 24)

    Allah itu Maha Bijaksana, Dia yang menciptakan, Dia yang Mengadakan setiap sesuatu. Segalanya milik Dia. Segala ilmu milik-Nya. Ilmu manusia juga milik-Nya. Betapa bijaksananya Allah sehingga ilmu yang dimiliki manusia ibarat tidak sampai setitik pun ilmu milik Allah.

    Sebab itu manusia dituntut supaya sentiasa belajar, sentiasa menuntut ilmu sepanjang hayat, selagi bernyawa. Bukan untuk menyaingi penciptanya, tetapi sebagai pembimbing diri sendiri. Dan seterusnya mengamalkan ilmu yang baik-baik yang dipelajari, juga ilmu sebagai alat muhasabah diri.

    Semakin kita belajar, kita akan dapati sebenarnya sangat banyak yang kita tidak tahu, yang kita tersalah, yang kita tidak perasan. Jika tidak belajar, kesilapan akan terus jadi kesilapan. Yang salah akan terus jadi amalan berterusan.

    Daripada belajar, tidak kira bagaimana caranya, walaupun bukan melalui talaqqi di majlis ilmu, di dewan kuliah, mungkin belajar secara tidak langsung dari pemerhatian sekeliling, yang cacat, yang tempang, yang tidak betul yang selama ini kita tidak perasan, yang sudah bertahun-tahun kita amalkan dapat kita ubah kerana sudah ada kesedaran bahawa ia silap. Itu juga suatu proses pembelajaran, belajar daripada pengalaman, bermuhasabah dan berubah atas kesilapan.

    Adab menuntut ilmu juga menyebut, tidak sekadar hanya menuntut kemudian diperap hingga berkarat. Jangan biarkan ilmu penuh menyendat dada tanpa pengamalan.Ingatan manusia tidak sehebat mana, jika ilmu dibiar tanpa amalan, kelak ianya akan luput dari ingatan.
    ~~~

    1. Tentunya amat beza pahala mereka yang beramal dengan ilmu daripada mereka yang beramal dengan ikut-ikutan sahaja.

  2. Memang. Disinilah ego kita bertandang. Kita tinggalkan majlis ilmu kerana kita rasa kita dah hebat kerana bersama jamaah dan dah faham islam … inilah penyakit ghurur yang diwarisi sebahagian duat. Merasa diri lebih baik dari orang lain. Inilah yang perlu kita muhasabahkan di Syahrul Muhasabah ini.

    Adakalanya penceramah dan para ustadz juga harus bermuhasabah untuk memberi ilmu supaya jangan banyak diselitkan isu semasa politik kepartian didalam masjid agar kita dapat fokus kepada pengajian ilmu semata kerana isu isu begini lebih baik dibincangkan diluar masjid kerana jika dibincangkan dalam kuliah akan mencakarkan banyak hati.

    Ini juga akan membuatkan para jamaah meninggalkan kuliyah.

    Wallahuaklam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.