
Boikot atau tidak, ataupun utamakan produk Muslim
Akhir-akhir ini heboh di media negara kita berkenaan kempen Boikot Barangan Bukan Muslim ataupun Utamakan Produk Muslim. Ada mereka yang bersungguh-sungguh melarang kempen ini hinggakan heboh juga di media, menyatakan bahawa kempen sebegini adalah suatu kesalahan atau tindakan yang tidak bijak.
Sebagai pembeli, sudah tentu mereka inginkan yang terbaik. Mereka memang mempunyai hak dalam memilih barang atau pekhidmatan yang mana, sesuai dengan selera dan keperluan mereka. Hal ini tidak dinafikan sama sekali.
Kita pernah lancarkan boikot
Jika kita imbau kembali, bagaimana kisah kekejaman Israel (tentera Zionis) terhadap penduduk Palestin telah mencetuskan kemarahan banyak pihak. Mereka yang cintakan keamanan berpandangan bahawa ini adalah jauh daripada neraca keadilan. Maka, mereka berpakat untuk memboikot barangan yang menyumbang kepada kekuatan tentera Zionis ini. Paling tidak mereka dapat berusaha membantu penduduk Palestin agar kembali aman serta dipulangkan semula hak-hak yang telah dirampas.
Kempen ini boikot barangan tersebut bukan dibincang sejam dua, mereka telah berbincang untuk menyenaraikan barang-barang yang menyumbang kepada kekuatan Zionis Israel, dan ini memberi impak ke atas Zionis. Kita di Malaysia juga bersetuju untuk menyokong kempen ini. Memang benar, ada juga beberapa barangan yang tidak mampu diganti. Setidak-tidaknya, kita telah meminimumkan pembelian barangan yang menyokong Zionis.
Apa yang sepatutnya produk muslim miliki?
Cuba kita senaraikan beberapa perkara yang patut ada pada produk muslim.
Pertamanya adalah zakat perniagaan. Peniaga muslim wajib membayar zakat perniagaan, dan zakat ini jugalah mampu mengukuhkan ekonomi orang Islam.
Kemudian, perniagaan muslim wajib patuh syariah. Sudah pasti pembeli dan pelanggan amat gembira apabila barang atau perkhidmatan yang mereka langgan adalah patuh syariah, lebih berkat dan sejahtera.
Perniagaan Muslim juga sepatutnya ada sikap tolong-menolong sesama muslim. Contohnya, barangan yang dijual tidak boleh terlalu mahal (mengaut untung yang terlalu tinggi). Mereka juga perlu membuka peluang perniagaan kepada muslim yang lain, agar ekonomi dapat dikembangkan dan tidak dimonopoli hanya satu pihak.
Hasil kewangan yang dijana pula, hendaklah dibelanjakan ke tempat yang utama dan halal. Hargailah sokongan dan dokongan yang diberikan.
Boikot atau tidak?
Jadi, apa kesimpulannya? Haruskah kita memboikot barangan bukan muslim? Pertamanya, sila kaji, kenapa kempen sebegini telah wujud mutakhir ini di negara kita? Mesti ada pencetusnya. Namun, pada saya, kita tidak patut boikot barangan mereka. Kita sebagai pengguna tetap mencari yang mana terbaik, dan sebagai pengguna muslim, antara ciri-cirinya adalah seperti yang dibincangkan tadi.
Sebagaimana kita telah wujudkan kempen Utamakan Barangan Buatan Malaysia suatu masa dahulu, bagi saya tiada masalah untuk kita wujudkan kempen Utamakan Barangan Muslim. Walau bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada harga dan kualiti. Pembeli menolong penjual, penjual menolong pembeli. Biarlah saling tolong menolong.
Hargailah keaman yang sedia ada, sama-sama kita bersatu. Utamakan yang utama. Adil dalam Islam adalah, meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya.
Wallahua’lam
Leave a Reply