
Berita Ghaib, Hikmah dan Akibat, semuanya kekal rahsia
Semua kita pernah mendengar akan perintah membaca surah al Mulk setiap malam, dan Alhamdulillah ada di antara kita mengamalkannya. Kenapa surah al Mulk? Kenapa tidak surah al Kafirun, atau surah ar Rahman?
Semua orang boleh memberikan pelbagai kiasan, dan pelbagai teori mengaitkan kenapa kita disarankan untuk membaca al Mulk. Namun, ingatlah bahawa kalau tidak kerana sabdaan Nabi agar membacanya setiap malam dan ganjarannya ialah sebagai peneman di kubur nanti, pasti tidak akan ada yang bersungguh-sungguh untuk mengamalkannya.
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.”
(Riwayat Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi, Riyadh as-Salihin oleh Imam Ahmad)
Ganjaran-ganjaran ini adalah termasuk berita ghaib yang Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad saw, dan kemudiannya disampaikan pula kepada kita, mudah-mudahan tiadalah kita sombong daripada menyambut ‘hadiah’ yang Allah berikan ini.
Ambillah peluang dan pelawaan ini, mudah-mudahan ia menjadi bekal kita untuk mendapat rahmat Nya nanti.
Berbalik kepada ‘berita ghaib’ ini, bagaimana Nabi Muhammad mengaitkan ibadah membaca surah al Mulk ini dengan ganjarannya? Adakah Nabi berfikir secara logik atau mengagak-agak dengan teori dan pengalaman baginda saw? Pastinya tidak.
Segala berita yang belum nampak, seperti ganjaran-ganjaran terhadap amal soleh, cerita-cerita masa depan, hal-hal luar jangkauan (gunung pasak bumi, dua laut tidak bercantum dan lain-lain), ancaman-ancaman terhadap dosa-dosa, merupakan suatu yang diberitakan kepada Nabi saw.
Nabi tidak mereka-reka sesuka hati, dengan andaian-andaian walaupun baginda seorang yang Fathonah (bijaksana) serta penuh Hikmah.
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
-Sura An-Najm, Ayah 3-4
Sebagai contoh, pernah ada mereka yang bertanya kepada Nabi berkenaan arak dan judi, dan nabi memberikan jawapannya seperti dalam ayat di bawah:
۞يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٞ كَبِيرٞ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ وَيَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَۖ قُلِ ٱلۡعَفۡوَۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِ لَعَلَّكُمۡ تَتَفَكَّرُونَ
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir: -Sura Al-Baqarah, Ayah 219
Nabi memberikan jawapan berdasarkan wahyu daripada Allah. Tetapi ingat, tidak semua yang mereka tanya akan diberikan jawapan. Nabi tidak tahu segalanya, melainkan apa yang telah dinyatakan dan diwahyukan oleh Allah swt.
وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ
Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
قُلۡ إِنَّمَا ٱلۡعِلۡمُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٞ مُّبِينٞ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”. -Sura Al-Mulk, Ayah 25-26
Berkenaan hari kiamat pun, sekiranya ia adalah rahsia Allah, ia tetap rahsia. Ini menunjukkan, Nabi ini tidak sesuka hati dalam menyatakan sesuatu perkara.
Maka, pesanlah kepada diri sendiri dan masyarakat sekitar, apabila diceritakan berkenaan fadhilat sesuatu amalan, maka dengan penuh rasa rendah diri terhadap Nabi kita, janganlah kita memandai-mandai mencipta dan mengagak-agak fadhilat sesuatu amalan. Begitu juga cerita-cerita ghaib seperti kisah-kisah seseorang dengan kehebatannya, dan sebagainya.
Segala fadhilat berkenaan amalan-amalan, sama-sama kita kutip daripada Quran dan hadith Nabi. Sama-sama kita beramal apa yang jelas daripada Nabi, itu adalah juga tanda cinta kita kepada Nabi Muhammad saw.
Wallahua’lam
Leave a Reply