
Analisis Proses Penghasilan Pinggan Mangkuk Fine Bone China
Sekarang kita lihat hasil penulisan berkenaan post yang lepas, Pingan Mangkuk Fine Bone China. Bagaimana ia dihasilkan serta hukum yang berkaitan dengannya.
Analisis proses pengkalsinan dan proses pembakaran bone china akan dinilai mengikut perspektif hukum Islam. Aplikasi kedua-dua proses ini ditentukan mengikut penilaian kaedah penyucian Islam yang berkaitan iaitu melalui teori istihalah.
a. Proses Pengkalsinan Tulang Dalam Bone China
Serbuk abu tulang terhasil daripada proses pengkalsinan tulang. Pengkalsinan berasal daripada perkataan calcine atau calcination yang bermaksud mengurangkan atau mengecilkan, mengoksidakan, mengeringkan dengan pemanggang atau menggunakan pemanasan yang melampau (Judy Pearsall, 1999). Proses ini melibatkan beberapa fasa tertentu. Tulang dibersihkan dengan menggunakan air paip sebelum ia distim dan dikalsinkan pada suhu 800oC hingga 1000oC bagi menghilangkan lemak dan gelatin pada tulang. Kemudian, tulang akan dikisar dalam keadaan basah untuk mengecilkan saiz partikel tulang sehingga 75% hingga 80% dan diameter kurang 10µm. Setelah itu, ia diperam selama tiga atau empat minggu sehingga menghasilkan pati tulang. Proses pemeraman ini dilakukan bagi meningkatkan kadar plastik dalam kandungan bahan bone china. (F.H. Norton, 1952).
Kebiasaannya, abu tulang diambil daripada tulang lembu. Tulang lembu sangat sesuai digunakan dalam pembuatan bone china (Frank Hamer, 1975). Tulang lembu mempunyai kandungan iron yang rendah serta berfungsi menghasilkan warna lebih putih dan bersifat lut cahaya terhadap produk bone china (W.E. Worrall, 1975) Sebaliknya, tulang kuda dan babi tidak sesuai digunakan kerana mempunyai kandungan iron besi yang tinggi serta memberi kesan negatif terhadap penghasilan warna bone china. Warna yang terhasil adalah kekuningan atau keperangan. (Felix Singer dan Sonja S., 1963).
Produk bone china memerlukan kandungan ion besi yang rendah dalam proses pembuatannya. Oleh itu, penggunaan tulang lembu lebih releven digunakan berbanding tulang kuda atau tulang babi (Ismail Ab. Rahman, 1992). Sumber bekalan utama tulang lembu diambil dari gudang penyembelihan di dalam negara atau luar negara seperti di Afrika Selatan (A. J. Dale, 1964). Kebiasaannya, syarikat-syarikat pembuatan porselin lebih gemar membeli abu tulang yang telah siap dikalsinkan dari syarikat yang khusus dan pakar dalam bidang pengkalsinan tulang (A. J. Dale, 1964). Setelah itu, abu tulang akan diadun bersama kaolin dan Cornish stone.
Adunan yang terhasil akan dibentuk untuk menghasilkan jasad bone china yang sempurna. Penghasilan jasad bone china perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembakaran. Proses pengeringan dilakukan bagi menyingkirkan air di dalam jasad bone china serta mengurangkan keretakan selepas proses pembakaran.
b. Proses Pembakaran Bone China
Bone china mempunyai tiga peringkat pembakaran iaitu pembakaran biskut (biscuit firing), pembakaran licau (glost firing) dan pembakaran enamel (enamel firing). Pertama, pembakaran biskut (biscuit firing) merupakan proses pembakaran tembikar sebelum dilicau (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994). Pembakaran biskut dilakukan dalam berbagai-bagai jenis tanur (tempat pembakaran barangan tembikar) (tanpa penulis, 1986). Kebiasaannya, pembakaran bone china menggunakan suhu yang tinggi iaitu antara 1200 hingga 1250 darjah celcius (Chris Lefteri, 2003). Pada suhu 850 darjah celcius, proses pengacaan atau kemasan mula terbentuk.
Dalam julat 1250 darjah celcius, fluks melebur, fasa kekaca terbentuk, dan perubahan hablur berlaku bagi meningkatkan sifat kekerasan dan lut cahaya pada jasad bone china (Allen Dinsdele, 1993). Masa pembakaran yang diambil adalah selama 17 hingga 20 jam. Pembakaram biskut akan menghasilkan permukaan bone china yang licin tanpa liang (F.H. Norton, 1973). Kedua, pembakaran glost (glost firing) merupakan pembakaran barangan seramik yang telah disalut dengan licau (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994).
Pembakaran glost merupakan pembakaran pada suhu yang lebih rendah. Bahkan masa pembakaran lebih singkat berbanding pembakaran biskut (tanpa penulis, 1986). Pembakaran bone china kali kedua dengan suhu 1150oC (Chris Lefteri, 2003). Bone china akan digilap menggunakan kertas karbon untuk menghasilkan permukaan porselin yang berkilau (F.H. Norton, 1973). Ketiga, pembakaran enamel (enamel firing) merupakan penghasilan kemasan atau salutan licau yang keras pada permukaan logam atau seramik. Pembakaran enamel juga merupakan pembakaran tambahan untuk mengekalkan hiasan pada jasad berlicau (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994). Pembakaran enamel dilakukan selepas proses licau. Suhu yang digunakan adalah lebih rendah dan masa pembakaran lebih singkat berbanding pembakaran glost (tanpa penulis, 1986). Bone china dibakar pada suhu 750oC hingga 850oC dan mengambil masa pembakaran selama 15 jam. Walau bagaimanapun, jumlah pembakaran berbeza bagi setiap kepingan bone china kerana jumlah pembakaran bergantung kepada jumlah penggunaan warna. Oleh itu, proses pembakaran akan berulang-ulang mengikut jumlah warna yang digunakan (A.J.Dale, 1964).
Berdasarkan proses pengkalsinan dan proses pembakaran bone china di atas, kedua-dua proses ini mempunyai persamaan dengan kaedah penyucian Islam iaitu istihalah. Proses-proses ini telah merubah sifat asal bahan menghasilkan bahan baru yang berbeza dari aspek zat dan fizikal. Oleh itu, kedua-kedua proses ini diaplikasikan sesuai dengan teori istihalah dalam Islam.
Note: oC adalah bermaksud Darjah Celcius, cth: 100oC
Rujukan Utama: Analisis Fatwa-Fatwa Bone China Dari Perspektif Hukum Islam http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/14106/1/40-128-1-PB.pdf
Perbincangan Hukum Pinggan Mangkuk Fine Bone China
http://notapadat.com/perbincangan-hukum-pinggan-mangkuk-fine-bone-china/
Istihalah Dalam Perspektif Hukum Islam
http://notapadat.com/istihalah-dalam-perspektif-hukum-islam/
Leave a Reply