Adakah Aku Bersyukur?
Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari al Kitab1: “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhan ku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukut untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” [an Naml, ayat 40]
[al Kitab di sini maksudnya ialah: Kitab yang diturunkan sebelum Nabi Sulaiman, iaitu Taurat dan Zabur]
Berapa ramai manusia memiliki harta yang melimpah ruah, yang terkadang buntu akalnya memikirkan bagaimanakah dan untuk apakah lagi segala harta tersebut perlu disalurkan dan dibelanjakan. Ramai juga antara mereka membelanjakan harta tadi kepada sesuatu yang tidak munasabah pada nilaian orang awam, seperti membelanjakan ringgit-ringgit tadi untuk ditukarkan dengan kereta yang mewah-mewah secara keterlaluan, ditukarkan dengan fesyen-fesyen pakaian yang mahal-mahal dan bermacam lagi.
Tidaklah bererti Islam menolak kekayaan. Sering kali orang ramai tersilap menilai konsep zuhud dalam Islam, juga begitu gementar untuk mengiakan pernyataan Islam membenarkan kekayaan dan kemewahan. Selagi mana aturan hidup selari dengan Islam, selagi itulah ia diredhai, tidak kira kaya atau miskin. Segala prinsip dan aturan perlu sealiran dengan apa yang telah diaturkan oleh Pencipta kita melalui ajaran Nya yang murni yakni agama Islam yang lurus.
Syukur lawannya kufur. Kebiasaan kita gemar meletakkan label “tidak bersyukur” pada orang-orang kaya, yang mana lalai daripada mematuhi ajaran Islam. Tidaklah dikatakan salah, tetapi apa yang benar ialah ia lebih daripada kayu ukur pada harta sahaja.
Mudah untuk dijadikan contoh, berapa ramai orang-orang yang mempunyai masa lapang menghabiskan masa tersebut kepada sesuatu yang sia-sia malah terkadang pada perkara yang haram. Sekarang mana letaknya syukur kita pada nikmat masa?
Yang sihat pula sibuk menggunakan tenaga daripada kesihatan tadi kepada sesuatu yang tidak perlu. Ada yang sanggup menghabiskan masa kepada hobi mereka sehinggakan mampu “Qiamullail” untuk futsal… pada pukul dua tiga pagi, sedangkan Allah telah menciptakan malam itu untuk kita berehat.
Allah lah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirahat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyal kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. [al Mu’min, ayat 41]
Maka kesimpulannya, kitalah yang perlu mengubah segala ketempangan ini. Nilailah dengan panduan yang benar, dan ubatnya juga perlu diperoleh daripada sumber yang benar.
Ingatlah lima perkara sebelum tiba lima perkara…
Leave a Reply
2 thoughts on “Adakah Aku Bersyukur?”
Salam …
Salam Eidul Fitri buat anta. Taqabbalhu minna waminkum
Semuga Allah terima amal amal kita.
Dan semuga thabat dan instiqamah dijalan dakwah ini
Sahabatmu
Muharrikdaie
Assalamualaikum.
Saya setuju dengan itu. Kesyukuran bukan hanya dinilai pada harta. Banyak perkara lain dalam kehidupan perlu untuk disyukuri, selain daripada keperluan untuk mensyukuri harta.
Hidup juga adalah suatu nikmat dan perlu disyukuri. Daripada nikmat hidup, kita beroleh kelapangan harta. Jika tidak hidup, maka tidak perlu kepada harta. Orang yang sudah meninggal dunia, tidak lagi perlu kepada harta.
Tetapi lapangnya harta juga perlu kepada nikmat lain, seperti lapangnya hati untuk berbelanja tanpa rasa takut, risau diburu SPRM, juga lapangnya masa untuk menemankan anak dan isteri membeli kelengkapan Aidil Fitri. Semuanya perlu kepada satu perkara, iaitu NIKMAT. Kelapangan itu adalah nikmat. Bila menyebut NIKMAT, maka perlu SYUKUR.
Sesungguhnya manusia tidak punya apa, dan sangat mengharapkan NIKMAT dari Allah.Kerana semua adalah milik-Nya.
Maka bersyukurlah atas nikmat yang telah Allah kurniakan.
~Allahumma maa asbaha bii min ni’matin, au biahadin, min khalqika, faminka wahdaka, la syariikalaka, falakal hamdu, walakasy syukru~
Wallahualam.
*Selamat hari raya Aidil Fitri akh Hafiz.Semoga keluar dari Ramadhan dengan diri yang lebih bertakwa. Dan semoga ketemu Ramadhan yang akan datang.Insya Allah.