Zikir Yang Punyai Nas dan Dalil

Zikir Yang Punyai Nas dan Dalil

[Zikir Allah Allah Secara Mufrad (Tunggal): Suatu Pencerahan]

Sebahagian orang mula panas apabila saya memberitahu bahawa guru saya yang mulia tidak bersetuju dengan zikir Allah Allah sehingga digelarkannya dengan gelaran Pak Pandir.

Sehinggakan ada seorang ustaz yang kalah saman fitnah pun nak masuk campur juga dalam isu ini. Saya kira jangan gopoh sangatlah nak menghentam. Takut terfitnah orang lagi. Cukuplah sekali kena saman fitnah.

Mereka membawa beberapa dalil dari al-Quran dan hadis untuk mengatakan zikir Allah Allah ini ada fadhilatnya.

Isu yang dibahaskan di sini ialah adakah lafaz Allah Allah itu suatu zikir khusus yang sunat hukumnya secara khusus? Maka guru saya yang mulia menyebutkan bahawa beliau tidak menjumpai dalam mana-mana hadis Nabi berzikir dengan lafaz Allah Allah secara tunggal (mufrad) tanpa ada ayat lain yang mengirinya yang memberi maksud seperti Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), Subhanallah (Maha Suci Allah), Allahuakbar (Allah Maha Besar).

Apa yang penting ialah perlu dibezakan antara keharusan menyebut lafaz Allah dengan galakan menyebut Allah Allah sebagai zikir khusus. Jika yang nak dibincangkan ialah keharusan menyebut lafaz Allah Allah maka sudah semestinya ia boleh seperti mana Bilal menyebut lafaz Ahad Ahad untuk mengikrarkan tauhidnya kepada Tuhan yang satu. Bahkan lafaz Bilal itu ada lafaz yang dihazafkan (tidak disebut tetapi difahami pada konteks ayat) iaitu Allah ahad (Allah yang satu). Ia tetap memberikan makna dari sudut struktur ayat.

Adapun perinciannya saya jawab seperti berikut:

1. Mereka bawa beberapa ayat al-Quran untuk isu ini. Tetapi semua dalil al-Quran yang mereka bawa tidak ada satu pun yang jelas menunjukkan zikir Allah Allah itu suatu yang dituntut. Lihat dalil al-Quran yang mereka kemukakan:

واذكر اسم ربك
Maksudnya: sebutlah nama Tuhanmu.

Tidak ada dalam ayat ini sesuatu yang menunjukkan galakkan menyebit lafaz Allah Allah secara mufrad. Al-Qurtubi menjelaskan:

أي ادعه بأسمائه الحسنى… وقيل أي اقصد بعملك وجه ربك، وقال سهل: اقرأ بسم الله الرحمن الرحيم في ابتداء صلاتك

Maksudnya: iaitu berdoalah dengan nama-Nya yang baik. Dikatakan juga maknanya ialah tuntutlah dengan amalan baikmu keredaan Tuhanmu. Kata Sahl: bacalah bismillahirrahmanirrahim di awal solatmu.

Manakala ayat:

قُلِ اللَّهُ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

Ayat ini kuga langsung tidak ada galakan jelas menyebut Allah Allah secara mufrad. Sebaliknya ayat ini ialah arahan dari Allah kepada Nabi untuk menjawab persoalan siapakah yang menurunkan kitab kepada Musa. Maka jawapannya Allah. Kata al-Tabari:

أمر من الله لنبيه محمد صلى الله عليه وسلم أن يجيب استفهامه هؤلاء المشركين عما أمره باستفهامهم عنه بقوله: قل من أنزل الكتاب الذي جاء به موسى نورا وهدى، بقيل ” الله “.

Manakala ayat:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ

Ayat ini juga tidak terdapat galakan berzikir Allah Allah secara mufrad dengaj jelas. Sebaliknya kata al-Qurtubi:

اذكروني بالطاعة أذكركم بالثواب والمغفرة، قاله سعيد بن جبير وقال أيضا: الذكر طاعة الله فمن لم يطعه لم يذكره وإن أكثر التسبيح والتهليل وقراءة القرآن

Maksudnya: sebutkanlah Aku dengan ketaatan aku akan menyebut kamu dengan pahala dan keampunan. Ini yang disebutkan oleh Said bin Jubair. Dia berkata lagi: zikir adalah ketaatan kepada Allah, siapa yang tidak taat maka dia tidak ingat Allah walaupun dia banyak bertasbih, tahlil dan baca al-Quran.

2. Antara dalil hadis yang digunapakai oleh mereka yang panas hati ini ialah hadis berikut:

( لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ )

Maksudnya: tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak ada lagi disebut di dunia ini Allah Allah.
(HR Muslim)

Hadis yang dijadikan sandaran ini tidaklah boleh menjadi dalil dalam isu ini kerana sebab berikut:

i. Untuk memahami maksud mana-mana hadis kita perlu mengumpulkan riwayat-riwayat bagi hadis yang sama. Inilah yang dilakukan Imam Muslim dalam sahihnya, Ibn Hajar dalam Fathul Bari dan ulama lain dari kalangan Ahlussunnah.

ii. Melihat kepada riwayat-riwayat hadis ini jelas bahawa ia tidak seperti yang difahami oleh golongan yang panas hati. Sebaliknya ia menunjukkan bahawa sewaktu kiamat berlaku tidak ada orang yang menyembah Allah. Maksudnya kiamat hanya berlaku pada orang yang tidak bertauhid kerana orang yang bertauhid akan mati dahulu. Buktinya riwayat lain bagi hadis ini menyebutkan:

( لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه )
Maksudnya: tidak berlaku kiamat ke atas seseorang yang menyebut: tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.

Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban dan lain-lain lagi.

Tafsiran ini selari dengan hadis lain yang menyebutkan bahawa sebelum kiamat nanti Allah akan menghantar angin mematikan semua orang yang ada iman dalam jiwanya.
Kata Amru bin al-Aas:

ثم يرسل الله ريحا باردة من قبل الشام فلا يبقى على وجه الأرض أحد في قلبه مثقال ذرة من خير أو إيمان إلا قبضته….قال: سمعتها من رسول الله صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: kemudian Allah menghantar angin sejuk dari arah Syam dan tidak ada atas dunia seirang yang dalam jiwanya sebesar zarah kebaikan atau iman melainkan akan dimatikan…aku mendengar ini dari Nabi sallallah alaih wasallam.

ii. Tidak sesuai menggunakan riwayat ini untuk mengatakan berzikir dengan lafaz Allah Allah sunat secara khusus. Berikut beberapa komentar ulama silam terhadap hadis ini:

– kata al-Tibi:

معنى ( حتى لا يقال ) حتى لا يذكر اسم الله ولا يعبد

Makna “sehingga tidak disebut” dalam hadis bermaksud: sehingga tidak disebut lagi nama Allah dan Allah tidak disembah lagi.

– kata al-Munawi:

وليس المراد أن لا يتلفظ بهذه الكلمة ، بل أنه لا يذكر الله ذكرا حقيقيا ، فكأنه لا تقوم الساعة وفي الأرض إنسان كامل ، أو التكرار كناية عن أن لا يقع إنكار قلبي على منكر ؛ لأن من أنكر منكرا يقول عادة متعجبا من قبحه ” الله الله ” فالمعنى : لا تقوم الساعة حتى لا يبقى من ينكر المنكر
Maksudnya: bukanlah hadis ini bermaksud lafaz Allah tidak disebut langsung, tetapi ia tidak disebut secara hakiki, seolah-olah maksudnya tidak berlaku kiamat sedangkan dalam dunia insan yang sempurna. Ataupun ulangan lafaz Allah (Allah Allah) merupakan kiasan tentang tidak berlaku penentangan pada jiwa ke atas sesuatu kemungkaran (pada zaman itu) kerana oraang yang mengingkari kemungkaran akan berkata pada kebiasannya kerana terkejut dengan keburukannya:

Allah Allah.

Maka makna hadis ini: tidak akan berlaku kiamat sehinggalah tidak wujud lagi orang yang meningkari kemungkaran.

Di mana lafaz dalam hadis ini yang mengatakan sunat zikir lafaz Allah secara khusus? Saya tidak menjumpainya.

iii. Jika benar maksud hadis ini seperti mana yang didakwa oleh orang yang panas hati. Maka adakah bermakna kiamat akan berlaku walaupun orang yang berzikir dengan zikir yang ada dalam hadis dengan lafaz yang lengkap? Ini kerana mereka meninggalkan lafaz Allah Allah secara mufrad (tunggal)? Sedangkan hadis sahih menyebutkan bahawa sebelum kiamat Allah akan menghantar angin yang akan mematikan semua orang yang beriman?

4. Jika anda masih berkeras mahu kata ia sunnah juga dengan mengatakan ada ulama yang membenarkannya, saya akui memang ada ulama yang membenarkannya. Dan ada juga yang mengatakan zikir seperti ini tiada dalilnya. Apa pun terpulanglah kerana kita masing-masing membawa amalan di hadapan Allah. Saya cuma boleh kata, sebaik zikir ialah zikir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad sallallah alaih wasallam. Zikir Nabi dalam hadis semuanya dalam bentuk ayat yang lengkap seperti Allahu akbar, Subhanallah dan seumpamanya. Cuba tanya diri, apakah yang menyebabkan kita berat melengkapkan ayat dalam zikir seperti yang dianjurkan Nabi? Berbahagialah orang yang memegang petunjuk baginda dalam ibadat walau digelar pak pandir.

Dr Rozaimi Ramle

https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/1917823934911764

Leave a Reply