Undi Calon Bukan Muslim

Undi Calon Bukan Muslim

Isu ini selalu hangat diperkatakan setiap kali menjelang PRU. Dan Alhamdulillah kali ini Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menulis satu artikel berkenaan.

Berikut adalah kesimpulan akhir hasil daripada perbahasan dalil-dalil serta pandangan ulama:

PANDANGAN TERPILIH

Setelah meneliti dalil dan pandangan para ulama’ yang dikemukakan di atas, kami berpandangan hukum mengundi non-Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin (kecuali pimpinan tertinggi) adalah harus berdasarkan kepada alasan berikut:

1. Wakil rakyat bukan ketua / imam

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menulis:

“Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang dilarang dalam hadith daripada memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia sekadar mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.”

Rujuk Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (hlmn 194)

Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia adalah terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Jika suatu perkara itu menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, ia perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

Sistem pengundian di Malaysia juga tidak memestikan seorang wakil rakyat itu memperoleh sebarang kuasa. Jika calon tersebut menang sekalipun, penggubalan dan penetapan dasar tidak terletak pada seorang individu semata-mata, tapi ditetapkan menerusi konsensus atau kehendak majoriti sesebuah dewan yang terbentuk melalui sesebuah parti atau gabungan yang mempunyai dasar tersendiri.

Wakil rakyat yang mewakili Parlimen atau DUN juga bukanlah ketua dalam erti kata sebenar, kerana peranan sebenar mereka adalah membawa suara rakyat ke dan menyuarakan isi hati dan keluhan mereka. Mereka wajib berkhidmat kepada rakyat yang telah memilih mereka. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

سَيِّدَ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ

Maksudnya: “Pemimpin suatu masyarakat itu merupakan khadam bagi mereka.”

Disebut oleh Abu Abdul Rahman as-Sulami dalam kitabnya Adab as-Suhbah (117, 1/89)

2. Wakil rakyat tidak berkuasa menentukan dasar secara sendirian

Pada zaman dahulu, raja-raja berkuasa mutlak dan boleh bertindak sesuka hati tanpa ada kuasa lain yang boleh menghalang. Pada zaman sekarang, doktrin pengasingan kuasa (separation of power) yang diamalkan dalam sistem demokrasi mampu mencegah mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa atau melakukan perkara yang melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan.

Pada peringkat persekutuan, kuasa legislatif (Parlimen), kuasa eksekutif (Jemaah Menteri) dan kuasa kehakiman (mahkamah) akan saling menyemak-imbang (check and balance) antara satu sama lain demi memastikan tiada salah guna kuasa berlaku.

Selain itu, Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua bagi setiap negeri juga bertanggungjawab memastikan kedaulatan dan kemuliaan agama Islam sentiasa dipelihara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri. Justeru, kebimbangan melantik non-Muslim sebagai pemimpin akan menggugat kedudukan agama Islam adalah tertolak kerana ia sebenarnya telah dijamin Perlembagaan, dan ia tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

3. Kontrak sosial Muslim dan non-Muslim

Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 8 telah memberikan hak yang sama rata kepada seluruh warganegara untuk perlindungan daripada sebarang diskriminasi berasaskan agama, ras dan jantina dari sudut undang-undang.

Perlembagaan Persekutuan boleh diibaratkan seperti Piagam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama kaum Muslimin dan orang Yahudi di Madinah untuk hidup aman dibawah panji keadilan dan kesaksamaan. Sebagai orang Islam, kewajipan menepati dan mempertahankan perjanjian ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّـهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ وَلَا تَنقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah)”.

(Surah an-Nahl: 91)

Kontrak sosial ini merangkumi penghormatan warga non-Muslim terhadap Islam sebagai agama Persekutuan, manakala sebagai imbalannya warga Muslim perlu memberi hak kepada warga non-Muslim untuk menikmati hak yang sama sebagai seorang warganegara, antara lainnya ialah untuk bertanding dan menempati posisi ahli Parlimen, DUN dan menteri kabinet.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.”

(Surah al-Maidah : 8)

Keadilan dalam konteks ini termasuk juga memberi hak kepada mereka untuk mempunyai perwakilan di Parlimen dan DUN, terutamanya di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim.

4. Fiqh implikasi dalam masyarakat majmuk

Jika dalil-dalil yang disebutkan di atas difahami secara literal, maka sudah pasti pelantikan seorang non-Muslim untuk apa jua jawatan awam adalah haram. Ini tidak terhad kepada wakil rakyat atau menteri sahaja, bahkan termasuk juga jawatan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar atau pengetua sekolah, ahli Majlis Daerah / Perbandaran / Bandaraya, hakim mahkamah sivil dan pegawai tinggi kementerian.

Keadaan ini sudah pasti akan menimbulkan suasana kucar-kacir dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, selain memperbesar jurang antara agama dan kaum yang akan menatijahkan imej Islam yang buruk pada pandangan non-Muslim. Dalam hal ini, fiqh ma’alat al-af’al (fiqh implikasi) amat perlu diberi perhatian, di mana sesuatu pandangan atau keputusan yang diambil harus mengambil kira kesan dan implikasi yang akan terjadi. Islam akan dilihat sebagai satu agama yang ektrem dan menindas penganut agama lain.

Berdasarkan statistik untuk tahun 2000, penduduk non-Muslim membentuk kira-kira 40% (38.7%) daripada 30 juta rakyat Malaysia (Layari https://www.malaysia.gov.my/). Pembentukan sebuah kerajaan yang hanya terdiri daripada wakil Muslim dalam sebuah masyarakat majmuk adalah suatu yang amat tidak sihat, dan tidak dapat diterima oleh akal dan hati yang sejahtera.

5. Uruf masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik

Imam al-Qarafi menyebut bahawa:

وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ

Maksudnya: “Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.”

Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq (1/177)

Begitu juga Ibn ‘Abidin as-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan:

أن المفتي ليس له الجمود على المنقول في كتب ظاهرة الرواية، من غير مراعاة الزمان وأهله، وإلا يضيع حقوقاً كثيرة، ويكون ضرره أكثر من نفعه

Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.”

Rujuk Rasa’il Ibn ‘Abidin (2/131)

Keterikatan terhadap pandangan ulama silam sehingga tidak peka kepada tuntutan kontemporari merupakan suatu hal yang harus dijauhi dalam ijtihad dan fatwa. Suasana Malaysia memerlukan satu ijtihad politik yang meraikan ‘uruf dan suasana setempat. Kata Imam Ibnul Qayyim:

تَغْيِيرِ الْفَتْوَى ، وَاخْتِلَافِهَا بِحَسَبِ تَغَيُّرِ الْأَزْمِنَةِ وَالْأَمْكِنَةِ وَالْأَحْوَالِ وَالنِّيَّاتِ وَالْعَوَائِدِ

Maksudnya: “Perubahan fatwa harus disesuaikan dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat kebiasaaan.”

Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in (1/41)

Demokrasi, iaitu membuat keputusan berdasarkan suara majoriti, telah menjadi satu ‘uruf masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin dan pembentukan kerajaan. Maka ia satu hal yang harus diambil kira dalam berinteraksi dengan nas-nas syara’ dan pandangan ulama’ silam.

Konsep kewarganegaraan dalam sebuah negara bangsa

Sistem kenegaraan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat khilafah-khilafah selepasnya adalah berbentuk Darul Islam, di mana kewarganegaraan dikelaskan mengikut agama, daerah atau negeri yang bermusuh dinamakan Dar al-Harbi dan yang mempunyai perjanjian dinamakan Dar al-Mu’ahad. Warga bukan Muslim dikelaskan sebagai Ahlu Dzimmah yang berlindung di bawah kekuasaan negara Islam.

Adapun pada zaman sekarang, konteks dan sistem yang diamalkan berbeza.. Kerana itulah munculnya ijtihad-ijtihad moden dalam bidang politik yang menganggap pengkelasan warga bukan Muslim sebagai Ahlu Dzimmah tidak lagi sesuai pada zaman sekarang yang mengamalkan sistem negara bangsa (nation state). Antara ulama’ yang berpegang kepada pendapat ini termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah az-Zuhaily dan Dr. Fahmy Huwaidi yang terkenal dengan bukunya Muwathinun la Dzimmiyyun yang berpandangan rakyat bukan Muslim seharusnya dianggap sebagai warganegara yang setaraf dengan rakyat Muslim.

Selain itu, tatkala negara-negara majoriti bukan Islam seperti Kanada dan United Kingdom mulai memperlihatkan peningkatan perwakilan Muslim dalam kerajaan dan kepimpinan negara atas dasar kesetaraan dan kesaksamaan, maka sewajarnya juga Malaysia dan negara-negara majoriti Muslim yang lain menempatkan perwakilan bukan Islam yang sesuai dengan komposisi rakyat yang bukan Muslim dalam pemerintahan negara.

KESIMPULAN

Hasil penelitian yang dilakukan, kami dapati tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang untuk mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin. Ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya. Adapun bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak terpakai. Hal ini termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti.

Tanpa menafikan bahawa majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat. Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan Muslim dan non-Muslim pada waktu tersebut berbeza dengan sekarang.

Kesimpulannya, hukum asal mengundi bukan Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas. Kesemua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan sahaja. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

sumber penuh: Undi Bukan Muslim

Leave a Reply