TARIKH HAID DAN BERANAK

TARIKH HAID DAN BERANAK

Sewaktu saya bertugas sebagai relawan perubatan di Kem Kutupalong Cox’s Bazar, saya tidak hairan ibu-ibu hamil mereka memberi alasan tidak ingat tarikh hamil. Mereka hanya menjawab mengikut bulan. Apabila timbul bulan purnama setiap bulan mereka akan calit di dinding bahawa mereka sudah hamil bulan ke berapa. Saya faham mereka tidak seperti negara kita yang sudah pesat maju. Tekanan hidup mereka selama ini tidak membolehkan mereka bermaklumat tepat sebagaimana kita yang mempunyai kalendar merata-riti. Malah 89.4% penduduk Malaysia mempunyai telefon pintar (MCMC 2017). Menjadikan negara kita mendapat tempat ke 34 dalam kalangan negara yang pesat membangun seluruh dunia (USNEWS 2018).

Saya cukup terkilan apabila terdapat segelintir dari kita yang memandang remeh usaha penentuan jangka tarikh lahir. Kononnya kiraan yang dilakukan oleh doktor hospital melalui tarikh terakhir haid (Last Menstrual Perioid- LMP) sebagai tidak penting, mengikuti anjuran bible, agama kristian dan serahkan segala ketentuan tarikh bersalin nanti atas kuasa Allah. Inilah salah satu fahaman yang mengelirukan masyarakat. Malah dikeluarkan oleh individu yang tiada wibawa pun dalam urusan ibu hamil.

Persenyawaan berlaku apabila sperma bertemu telur (ovum) di satu masa yang serasi. Ovum yang subur secara tepatnya akan keluar dari kilang telur (ovary), 14 hari dari jangkaan haid bulan depan. Jangkahayat ovum maksima 24 jam, manakala sperma mempunyai jangkahayat agak lama dalam rahim, maksima 5 hari. Jika persenyawaan berlaku, haid yang sepatutnya hadir di bulan berikutnya, tidak akan berlaku. Jika tidak berlaku persenyawaan antara sperma dan ovum, dinding rahim akan menguncup (shedding) dan haid akan berlaku pada hari ke 14 selepas keluar ovum. Setelah berlaku persenyawaan pada tarikhh yang ditentukan itu, akan terbentuklah segumpal darah, sebentuk daging dan akhirnya janin. Seluruh ilmu kedoktoran menyatakan majoriti janin akan membesar dalam rahim ibu selama 40 minggu, atau 280 hari atau 9 bulan 10 hari. Walaupun begitu hanya 4% bayi dilahirkan tepat pada tarikh jangkaan. Selebihnya jatuh dalam julat tarikh 37 minggu hingga 42 minggu. Terdapat juga bayi yang lahir kurang dari 37 minggu, ianya dikira sebagai kelahiran pra matang. Terlalu amat jarang bayi lahir melebihi 42 minggu kecuali si ibu itu lupa tarikh haid, atau menipu tarikh sebenar.[1]

Jika penentuan tarikh jangka bersalin tidak dapat ditentukan melalui LMP kerana faktor-faktor tertentu seperti ibu sedang menyusu bayi, kitaran haid tidak tetap dan mengalami masalah perubatan, doktor akan menggunakan kaedah ukur tumbesaran perut dan ultrasound. Ianya boleh diambil sebagai ukuran yang tepat bagi meneruskan pengurusan pesakit disaat bersalin nanti.

Ilmu tarikh bersalin ini bukan ilmu baru atau direka-reka. Ilmu ini adalah ilmu dari Allah jua. Dewasakini, ilmu berkaitan tempoh hamil dan embriologi dimasyhurkan oleh Dr Keith L. Moore. Beliau adalah seorang yang dianugerahkan akal cerdas mengkaji semua hal berkaitan embriologi ini. Beliau cukup kagum dengan paparan Al Quran yang menyebut asal usul kejadian manusia di alam rahim. Dikatakan beliau telah memeluk Islam hasil dari keajaiban Al Quran. Mukjizat Al Quran adalah tepat sepertimana kajian yang beliau lakukan setelah berpuluh tahun sebagai pakar anatomi manusia.

Antara ayat Quran yang menjelaskan kejadian manusia adalah surah Al Haj ayat 5:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِناَّ خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِي اْلأَرْحَامِ مَانَشَآءُ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلاً ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أُشُدَّكُمْ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّى وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلاَ يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا وَتَرَى اْلأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَآءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ {5}

Bermaksud: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

Terdapat segelitir individu menyebarkan fahaman bahawa para doktor tidak boleh mendahului tarikh yang ditetapkan oleh Allah berdasarkan ayat di atas. Dalam ayat tersebut dinyatakan: “…dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya…”

Mereka membawa hujah ini untuk tidak lakukan bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan bersalin. Doktor pakar akan memasukkan ubat (Induction of Labour – IOL) biasanya pada minggu ke 38 bagi kes-kes yang tertentu. Indikasi perubatan yang melibatkan nyawa ibu dan anak diambil kira oleh doktor melakukan IOL ini. Kes-kes seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi semasa hamil, pakar sakit puan akan induce lebih awal. Tujuannya untuk mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi jika dilewatkan setelah bayi matang.

Dengan alasan Allah yang menetapkan satu masa yang ditentukan lahirnya itu, mereka menolak usaha dan bantuan doktor pakar berkenaan. Sekali lagi golongan seperti ini buta Al Quran dan penafsirannya. Adakah mereka lupa bahawa Al Quran juga menyebut dan mengarahkan bertanya pakar yang ahli dalam sesuatu bidang?[2]

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۖ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Bermaksud: Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri” jika kamu tidak mengetahui.

-Sura Al-Anbiya’, Ayah 7

Ayat yang Allah sebut tentang penentuan masa lahir merujuk kepada PENGETAHUAN ALLAH YANG SANGAT DALAM. Kita tak sepatutnya guna ayat itu untuk menidakkan ikhtiar perubatan oleh doktor yang ahli dalam bidangnya. Ianya sudah salah mengambil tafsir dan ibrah sesuatu ayat Al Quran. Terlalu amat bahaya kefahaman sebegini merebak dalam masyarakat. Sedangkan mengambil mashlahat menjaga nyawa lebih utama dari menjaga kehendak peribadi seseorang.

Penentuan masa bersalin pada tarikh IOL itu juga ketetapan dari Allah. Wasilahnya adalah doktor yang melakukan IOL. Sebab semua perkara itu berlaku dalam perancangan Allah dan wilayah kekuasanNya juga. Tiada kebetulan. Lagipun ayat Al Haj: 5 itu disebut umum “Dia akan tentukan”. Tidak bermakna penentuan itu lahir secara natural bila kontraksi tanda bersalin, boleh juga penentuan itu berdasarkan ilmu doktor yang juga ilmu pinjaman dari Allah.

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Bermaksud: “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

-Sura Al-Hadid, Ayah 22

Zaman sudah berubah, tak perlulah kita putar kembali seperti zaman dahulu kala seperti yang berlaku terhadap pelarian Rohingya itu.

Sekian ulasan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

15.2.2018

Jerangau

Pautan:

[1] Tarikh lahir. http://perinatology.com/calculators/Due-Date.htm

[2] Perbincangan bersama Ustaz Abdullah Bukhari. https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim

Leave a Reply