MENCARI SINAR CAHAYA ANTARA PERTEMBUNGAN PARA ILMUAN (SHAIKH NURUDDIN AL-BANJARI VS DR. ROZAIMI RAMLE)

MENCARI SINAR CAHAYA ANTARA PERTEMBUNGAN PARA ILMUAN (SHAIKH NURUDDIN AL-BANJARI VS DR. ROZAIMI RAMLE)

Saya fikir hari ini ialah saat yang bagus menuliskan hal ini kerana kelihatan suasana sudah semakin reda.

Hujung Ramadhan lalu mungkin kita disibukkan dengan ibadah 10 akhir Ramadhan, ada juga disibukkan dengan kuih raya, dan sebahagian daripada kita mungkin disibukkan dengan pertembungan dua ilmuan; seorang senior dan seorang junior.

Iaitu antara Shaikh Nuruddin al-Banjari, dan Dr. Rozaimi.

Kronologi

Ia bermula dengan satu video Shaikh Nuruddin yang boleh ditonton di sini

yang kemudian dijawab oleh Dr. Rozaimi dalam page FB rasmi beliau:

 

Dua link di bawah pula ialah jawapan Dr. Rozaimi kepada pihak yang cuba mempertahankan hujah

Shaikh Nuruddin al-Banjari

 

Alhamdulillah, saya telah mendengar video Al-Fadhil Shaikh Nuruddin, dan saya telah membaca tulisan guru saya Dr. Rozaimi yang menjawab kembali apa yang diucapkan oleh Shaikh Nuruddin khususnya yang berkaitan dengan isu hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Seandainya kita membuang isu-isu picisan seperti :

– Gelaran ‘Dr. Kurang Asam’ yang Shaikh Nuruddin berikan kepada Dr. Rozaimi,
– atau gelaran ‘Ustaz Berserban’ yang Dr. Rozaimi berikan kepada Shaikh Nuruddin,
– begitu juga salah fakta Shaikh Nuruddin kerana menyatakan thesis PhD Dr. Rozaimi berkaitan khitan nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sahaja
– begitu juga merendah-rendahkan sistem pengajian orang lain

nescaya kita akan mendapat FAEDAH BESAR daripada perselisihan dua ilmuan ini. Hanya sahaja jika kita memilih untuk menenggelamkan diri dengan isu-isu picisan, maka itulah diri kita sendiri sebenarnya. Isu-isu picisan lah yang akan kita dapat.

Seandainya akhlak mahu dijadikan ukuran, saya kira Shaikh Nuruddin dan Dr. Rozaimi, kedua-duanya telah melakukan KESALAHAN daripada sudut akhlak Islam ketika berhujah. Maka, akhlak dalam isu ini bukanlah titik ukur siapa yang benar, adakah Shaikh Nuruddin atau Dr. Rozaimi.

Lalu, bagi saya, apa yang perlu kita nilai ialah penghujahan kedua-dua belah pihak, dan menjauhkan diri kita daripada mencerca kedua-dua ilmuan di atas tidak kira sama ada kita merasakan hujah Shaikh Nuruddin atau Dr. Rozaimi yang kuat.

Sesungguhnya para ilmuan kita tidak maksum, adakalanya berlaku keterlanjuran akhlak apabila mereka berbeza pendapat sesama ilmuan, lalu kenapakah kita mahu mengikut jua keterlanjuran itu? Ambillah ilmu, dan mana-mana sudut kelemahan mereka kita nasihati jika kita mampu, jika tidak kita doakanlah guru-guru kita, dan paling penting jangan diikuti jika apa yang mereka buat salah.

Seandainya mahu ditanya kepada saya, selepas mendengar penghujahan Shaikh Nuruddin al-Banjari dan Dr. Rozaimi, siapakah yang saya yakin penghujahannya. Maka saya katakan bahawa nampak penghujahan Dr. Rozaimi lebih menenangkan hati dan lebih selamat dalam membela hadis-hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam daripada penyelewengan.

Saya sangat berharap bahawa Shaikh Nuruddin tidak memaksudkan apa yang beliau katakan dalam video itu berkaitan hadis-hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang tidak wujud dalam kitab-kitab hadis. Ini kerana jika idea beliau diterima, maka ia membuka ruang kepada hadis-hadis palsu dan merobohkan kerja-kerja ulama hadis sejak zaman dulu menapis hadis-hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Ketika Imam Al-Iraqi menyatakan sebahagian hadis dalam kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali sebagai tiada asalnya, adakah kita mahu pertahankan jua riwayat itu dengan alasan boleh jadi hadis itu ada dalam hafazan Imam al-Ghazali dengan sanadnya sampai nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, cuma ulama-ulama hadis zaman dahulu tidak tulis hadis itu dalam kitab. Bukankah ini satu sifir yang sangat berbahaya kepada hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam?

Semoga Allah memberikan kita semua hidayah dan istiqamah di atas jalan kebenaran, dan memberikan ganjaran pahala melimpah ruah kepada para ilmuan yang tidak jemu berkongsi ilmu dengan masyarakat seperti Shaikh Nuruddin, Dr. Rozaimi dan para ilmuan-ilmuan lain secara umumnya.

 Sumber: Facebook Mohd Masri

Leave a Reply