Hukum Merosakkan Undi – Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Hukum Merosakkan Undi – Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ramai antara rakyat berfikir bahawa merosakkan undi apabila tidak tahu siapa yang layak diundi merupakan jalan terbaik. Walau bagaimanapun, ia telah disanggah dengan cermat oleh Dr Zulkifli al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semoga ia menjadi satu ilmu dan dapat diamalkan.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti keterangan di atas, kami dengan ini menyatakan bahawa:

  1. Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.
  2. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan bahkan tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.
  3. Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
  4. Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.
  5. Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.

Justeru, usaha memadam ketidakstabilan ini hanya mampu dilakukan oleh seorang pemerintah Islam yang adil. Seorang pemerintah yang dapat menggariskan jalan yang betul kepada umat Islam dan mengingatkan mereka supaya tidak terpesong ke jalan yang lain. Ketika itu, umat Islam tidak akan terjebak dalam kekeliruan dan kebingungan disebabkan kejahilan mereka. Ini kerana mengikut hukum Allah SWT, perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah adalah wajib dilaksanakan.

Namun, ketika pemerintah ini tidak wujud, para pendokong pelbagai fahaman sudah tentu akan berusaha menjadikan umat Islam berada dalam kebingungan tanpa sebarang penyelesaian. Akhirnya umat Islam akan berpecah kepada beberapa puak dan kelompok yang saling bercakaran. Mereka akan hancur disebabkan pertelagahan dan perpecahan itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/491-493)

Justeru, berdasarkan kepada kepentingan pelantikan pemerintah,

makanya kami cenderung untuk menyatakan bahawa haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Sehubungan dengan itu, kami menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi agar mendaftarkan diri dengan segera untuk mengundi sempena PRU 14 dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon-calon yang diyakini menjaga Dharuriyyat al-Khams yang lima itu iaitu agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat dan kebaikan untuk Malaysia dan warganegaranya yang tercinta.

Akhukum fillah,

SS. Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan.

26 Jamadil Awal 1439H bersamaan 12 Februari 2018.

 

Baca penuh di http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2293-bayan-linnas-siri-ke-126-hukum-merosakkan-undi

Leave a Reply