Bersentuhan Suami Isteri – Batal Wudhu?

Bersentuhan Suami Isteri – Batal Wudhu?

ISU BATAL WUDUK & SENTUHAN SUAMI ISTERI: SUDUT PANDANG MAZHAB SYAFI’IY

1. Saya bimbang dengan sebahagian perbincangan penuntut ilmu tatkala membicarakan isu ini…Kelemahan dalam mengolah ayat atau mengupas isu ini boleh membawa kepada pandangan yang skeptikal terhadap tokoh mujtahid agung dunia ini…

Barangkali timbul persoalan-persoalan seperti: “Mengapa imam Syafi’iy tidak mengambil hadis ‘Aisyah RA yang menyentuh Nabi SAW ketika baginda solat atau hadis baginda cium isterinya sebelum keluar solat tanpa mengambil wuduk?”,
“Adakah imam Syafi’iy tidak tahu hadis-hadis sebegini?”,
“How can imam Syafi’iy menolak hadis sahih itu dan ini?”…??
Saya juga bimbang dengan kenyataan-kenyataan seperti: “SAYA melihat pandangan atau istidlal imam Syafi’iy lemah/tidak kuat/tidak menepati nas/bercanggah dengan hadis yang jelas” yang kelihatan me”nyah” nilaikan ijtihad beliau…الله المستعان…

2. Tujuan coretan ini BUKAN untuk menyatakan tarjih masalah, sebaliknya hanya menjelaskan sebahagian argumentasi mazhab Syafi’iy supaya tidak dipandang serong berikutan ramai kehairanan melihat ia jelas bertentangan dengan hadis, sedangkan ia juga dibina atas dasar hujah ilmiah yang ada kredibilitinya dengan mengambil kira pelbagai nas dan kaedah…

3. Umum mengetahui bahawa mazhab Syafi’iy menjadikan ayat: “أَوۡ لَـٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ” [al-Nisa: 42] sebagai dalil utama yang menjelaskan bahawa terbatalnya wuduk hasil dari sentuhan lelaki-wanita, sama ada dengan syahwat atau tidak, secara sengaja atau tidak, sejenak atau lama…
Sebahagian ulama mengatakan sentuhan pada ayat tersebut bermaksud jimak sebagaimana tafsiran Ibn ‘Abbas dan beberapa penghujahan lain…

Namun ulama Syafi’iyyah menjawab:

a) Tafsiran jimak tidak tepat berdasarkan qiraat Ibn Mas’ud RA, Hamzah & Kisaiy: “أَوۡ لَمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ” (iaitu dengan bacaan lam secara pendek), iaitu hakikat “اللمس” ialah sentuhan langsung kulit degan kulit…

b) Banyak nas-nas yang menyokong maksud ini seperti ayat: “وَلَوۡ نَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ كِتَـٰبً۬ا فِى قِرۡطَاسٍ۬ فَلَمَسُوهُ بِأَيۡدِيہِمۡ” yang bermaksud: “Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka” [al-An’am: 7]…

c) Begitu juga dengan hadis Nabi SAW menegah dari “بيع الملامسة” [Riwayat Syeikhayn] dan hadis ketika Nabi SAW bertanya kepada sahabat yang mengaku berzina: “لعلك قبّلت؟ أو لمست؟” iaitu “boleh jadi kamu hanya sekadar mencium atau menyentuhnya?” [Riwayat Ahmad]…

d) Begitu juga di dalam ayat menyebut “النساء” (perempuan) secara mutlak, bukan khusus seperti “نساءكم” (isteri/perempuan kalian)…Maka ia termasuk pelbagai jenis wanita yang tidak dibolehkan berjimak dengannya…Justeru ia juga bermaksud sentuhan secara umum…

e) Jika “لامس” pada ayat tersebut bermaksud jimak, apakah makna dan keperluannya ia diulangi kembali setelah disebut perihal berjunub “وإن كنتم جنبا” sebelumnya sedangkan jimak menghasilkan junub??

f) Perbezaan “لمس/لامس/مس” dari sudut bahasa dan Quran yang panjang untuk dihuraikan…

4. Walaupun ada qiraat sedemikian yang menyokong zahir bahasa “sentuhan” di situ, bagaimana pula dengan hadis-hadis yang menunjukkan berlaku sentuhan Nabi SAW dengan isterinya namun tidak disebut pula membatalkan wuduk baginda SAW?

a) [Mazhab takwil]
Sebahagian ulama Syafi’iyyah menjawab: Disebabkan wujud kontradiksi zahir antara nas Quran dan hadis, maka nas hadis perlu ditakwil bagi menghapuskan kontradiksi tersebut, kerana mentakwil hadis dalam situasi sebegini lebih ringan dari mentakwil Quran…Jika tidak ditakwil hadis tersebut, maka sebahagian qiraat yang sabit dari Quran perlu ditolak, dan ini bukan perkara ringan!
Maka sentuhan yang berlaku dalam hadis ditakwil sebagai sentuhan yang berlapik dan itu tidak mustahil berlaku dalam situasi-situasi yang disebutkan dalam hadis (contohnya: Sentuh dengan selimut, cium atas selendang kepala)…
Tidak kurang juga sebahagian ulama mazhab (begitu juga sebahagian ulama hadis seperti imam Bukhariy) menilai hadis “cium” sebagai hadis yang lemah (mursal), jika sahih sekalipun, sama juga halnya boleh ditakwil…

b) [Mazhab tidak takwil]
Sebahagian ulama mazhab pula mengatakan: Hadis-hadis seperti hadis ‘Aisyah RA yang terbangun di malam hari serta tercari-cari Nabi SAW dengan tangannya sehingga tersentuh kaki Nabi SAW [Riwayat Muslim] menunjukkan yang disentuh tidak batal wuduknya, hanya yang menyentuh sahaja yang batal…
Ini sejajar dengan qiraat biasa “أَوۡ لَـٰمَسۡتُمُ” (dibaca sedikit panjang lam) yang mengkhususkan (فاعل) iaitu si penyentuh sahaja…

5. Apapun, pandangan mazhab Syafi’iy ini jangan dipandang enteng, kerana ia juga merupakan pandangan yang dinukil dari sahabat agung seperti: Ibn Mas’ud RA, dan Ibn ‘Umar RA, serta tokoh-tokoh seperti: al-Zuhriy, Zaid bin Aslam, Makhul, al-Sya’biy, al-Nakha’iy, ‘Ata’ bin Abi Rabah, dan ramai lagi para ulama besar sebelum imam Syafi’iy lagi…

6. Mempelajari bagaimana para ulama beristidlal dengan nas-nas dalam mengeluarkan suatu hukum merupakan wasilah utama yang membuka sudut pandang kita dalam “bertafaqquh” serta menjadikan kita lebih menghargai pandangan para imam mujtahid ini walaupun berkhilaf…

* Yang unik dalam bab ini: Abu Hanifah yang Iraqiy ambil pandangan Ibn ‘Abbas yang madrasah Makkiy & al-Syafi’iy yang Makkiy pula ambil pandangan Ibn Mas’ud yang madrasah ‘Iraqiy..


Sekarang, kita dapati bahawa terdapat 2 hukum yang diambil daripada pandangan 4 mazhab. Ada yang mengatakan ia batal, dan ada yang mengatakan tidak. Di sini kita tidak perlu berbalah, kerana ke empat-empat mazhab ini adalah benar. Bagi yang berpegang kepada tidak batal wudhu’, tidak boleh berpandangan bahawa mazhab Syafee lemah dalam mencari hadith. Bagi yang berpegang kepada batal wudhu’, jangan dituduh mereka yang berpegang kepada tidak batal itu sebagai wahabi dan sebagainya.

Saya tidak nampak Asatizah (ustaz-ustaz) yang berpegang kepada tidak batalnya wudhu’ itu mengatakan mazhab Syafee sesat dan sebagainya. Malah mereka amat menghormati pandangan mazhab Syafee dengan menghuraikan dalil-dalil dengan lemah lembut dan berhikmah. Berhentilah daripada sikap label melabel, kerana ia juga akan menjadi beban di akhirat kelak.

Wallahua’lam.

Leave a Reply