Belajar Melalui Facebook, Website, Youtube sesat?

Belajar Melalui Facebook, Website, Youtube sesat?

Ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w diutuskan sebagai Rasul, baginda banyak menggunakan medium lisan dalam menyampaikan dakwah Islam, termasuklah memberikan teladan yang baik (dengan menampilkan sikap dan penampilan daripada sudut perbuatan).

Zaman beredar dengan pantas. Dakwah dengan lisan telah diperluaskan dengan menggunakan medium tulisan, maka terhasilnya jutaan rujukan hasil usaha gigih para ulama secara gigih. Usaha mereka ini telah berjaya memberikan manfaat yang luarbiasa melalui kitab-kitab yang dikarang dengan teliti.

Para Ulama telah menggunakan sebaik mungkin apa jua peluang dan ruang yang ada dalam mengembangkan dakwah Islam. Hasilnya, penulisan kitab-kitab telah disambut baik oleh mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan khasnya. Ini telah memberikan impak yang amat positif dalam memastikan ilmu-ilmu agama disampaikan dengan cara yang terbaik.

Hari ini, jika kita perhatikan, terdapat beberapa medium baharu yang mampu membantu mengembangkan dakwah Islam dengan lebih luas. Antaranya adalah penulisan, suara serta video yang boleh disampaikan kepada target person seperti Facebook, Youtube, Blog, Website dan sebagainya. Ia merupakan peluang baru untuk kita bersaing dalam memastikan penyebaran Islam lebih luas.

Pun begitu, terdapat beberapa kelompok umat Islam yang menafikan kemampuan medium baharu ini sebagai salah satu alat penyampaian dakwah. Kata mereka, “belajar melalui internet… sesat!”. Apa hujahnya? Jika semata-mata kenyataan kosong tanpa ada sandaran kajian dan ilmiahnya, ia boleh ditolak bulat-bulat.

Kita kena akur dengan kemampuan medium baharu ini. Contohnya, belajar melalui Youtube. Hari ini kita dapat menonton kuliah-kuliah online di Youtube yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang berwibawa. Kita boleh mengikuti penyampaian ustaz-ustaz secara perlahan-lahan dan istiqamah. Seperti mana kita yang mengikuti kuliah-kuliah Maghrib di surau-surau. Ia tetap mengambil masa untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam. Walau bagaimanapun, saya tidak nafikan kelebihan berada dalam majlis Ilmu itu lebih besar berbanding menonton di Youtube. Cuma harus kita ingat, usah sesekali menghalang mereka yang ingin mendalami ilmu melalui saluran Youtube ini. Seeloknya, kita ajak mereka untuk turut serta dalam program yang real tanpa menghalang usaha murni mereka mendalami ilmu melalui Youtube, Facebook, Website dan sebagainya.

Rebutlah peluang-peluang yang ada, demi kelangsungan dakwah Islam.

Wallahua’lam

Leave a Reply