Adakah tidak ikhlas jika kita beribadah kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah?

Adakah tidak ikhlas jika kita beribadah kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah?

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).

Ini adalah suatu contoh, bagaimana Rasulullah s.a.w telah menyampaikan janji Allah kepada mereka yang beribadah kerana Allah. Banyak lagi contoh yang boleh kita ambil. Antaranya ialah ganjaran solat berjamaah dengan pahala 27 kali lebih berbanding solat bersendirian, kelebihan bersedekah di jalan Allah, ganjaran bagi mereka yang menghubungkan silaturrahim dan banyak lagi janji Allah yang lain.

Namun persoalannya, terdapat satu kelompok yang mengaku sufi telah mengatakan bahawa beribadah kerana mengharapkan ganjaran pahala itu adalah salah, malah sehingga menghukum sebagai syirik. Bagi mereka, beribadah ini hanya boleh mengharapkan rahmat Allah semata-mata, bukannya pahala. Jika seseorang itu beramal kerana mengharapkan janji Allah, maka lemahlah iman mereka.

Kita harus maklum, Allah tidak memungkiri janji. Apa yang Dia janjikan melalui lisan Rasulullah s.a.w tetap akan ditunaikan. Tidakkah kita dikira sombong apabila kita yang lemah ini menolak pelawaan atau hadiah yang dijanjikan oleh Dia Yang Maha Kaya?

Harus diingati, yang paling sufi antara kita ini adalah Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan insan yang paling ‘dekat’ dengan Allah, yang paling bersih hatinya. Segala ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t telah disampaikan melalui Baginda. Sekiranya meraih ganjaran pahala itu membuka pintu syirik atau pintu dosa, maka sudah pasti Rasulullah s.a.w akan awal-awal lagi menghalang kita daripada mengharapkan pahala tersebut. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Berapa banyak hadith-hadith Rasulullah s.a.w berkisar tentang pelbagai ganjaran pahala kesan perkara-perkara baik yang dilakukan oleh ummat baginda.

Maka, sama-samalah kita mendambakan ganjaran yang diberikan oleh Allah yang Maha Kaya dan yakinlah akan janji-janji Allah, samada yang tertulis dalam Quran mahupun yang terdapat dalam Hadith Nabi, dan sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

Wallahua’lam

Leave a Reply